Kemboja, Thailand, Malaysia Dan AS Tegaskan Sokongan Terhadap Perjanjian Damai Kuala Lumpur - PM Anwar

Kredit PMO
16/11/2025 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Kemboja dan Thailand, bersama Malaysia serta Amerika Syarikat (AS), menegaskan semula komitmen mereka untuk memastikan pelaksanaan penuh dan berkesan Perjanjian Damai Kuala Lumpur, tanpa melibatkan sebarang bentuk kerjasama perdagangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata komitmen itu disampaikan semasa perbualannya dengan Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri Cambodia Hun Manet, dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.

“Kami juga sependapat bahawa kemajuan bermakna mesti dicapai dalam isu penyingkiran ranjau darat, tanpa melibatkan sebarang bentuk kerjasama perdagangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut mengulangi penghargaan beliau terhadap komitmen peribadi dan aktif Trump dalam menyelesaikan isu sempadan antara kedua-dua negara jiran.

Media antarabangsa melaporkan pada Isnin bahawa Ketua Angkatan Tentera Thailand telah menggantung semua perjanjian dengan Kemboja susulan letupan ranjau darat di sepanjang sempadan, yang meningkatkan ketegangan selepas pertembungan pada Julai lepas.

Empat anggota tentera Thailand dilaporkan cedera apabila ranjau darat PMN-2 meletup semasa rondaan di wilayah Sisaket, dengan seorang kehilangan kaki kanannya.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani oleh Anutin dan Hun Manet, disaksikan oleh Anwar dan Trump, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan lepas.

-- BERNAMA