ASEAN Tegaskan Peranan Utama Dalam Indo-Pasifik – KSU Kementerian Luar

Datuk Seri Amran Mohamed Zin
14/11/2025 11:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- ASEAN menegaskan peranan blok itu sebagai tunjang kepada keterangkuman, kemampanan dan kerjasama di rantau Indo-Pasifik ketika minat serta persaingan kuasa besar semakin meningkat di kawasan berkenaan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Amran berkata pemusatan ASEAN kekal penting ketika kuasa besar semakin berusaha memperluas pengaruh di rantau ini, menjadikan perpaduan dan kepimpinan mantap ASEAN lebih penting daripada sebelum ini.

“Kita hidup dalam era yang semakin kompleks. Laluan perdagangan beralih, rantaian bekalan terjejas, teknologi dijadikan senjata, dan naratif semakin keras. Namun, di sebalik segala tajuk utama, terdapat sesuatu yang sangat penting.

“Indo-Pasifik kekal sebagai gelanggang paling dinamik bagi aspirasi dan inovasi manusia, dan ASEAN berada di pusat rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama majlis makan malam alu-aluan Forum Pandangan  ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) 2025, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata walaupun ASEAN merupakan tonggak kerjasama serantau, blok itu tidak kebal daripada tekanan dan persaingan kuasa besar yang cuba membentuk persekitaran strategiknya.

Amran menegaskan bahawa kepercayaan ASEAN terhadap dialog, keyakinan dan kerjasama sejak dahulu lagi telah membolehkan rantau ini menangani pelbagai perubahan global selama beberapa dekad, dan Forum AOIP mencerminkan etos berterusan ini.

Beliau berkata AOIP menyediakan rangka kerja kolektif untuk rakan kongsi berinteraksi secara konstruktif dengan rantau ini, memastikan Indo-Pasifik kekal terbuka, terangkum dan aman.

“Kami terus bekerjasama dengan rakan-rakan yang berkongsi komitmen terhadap kestabilan, pembangunan mampan dan saling menghormati. Inilah sebabnya Forum AOIP tahun ini penting.

“Ia menyediakan ruang untuk kami membincangkan kepentingan ASEAN dan rakan-rakan kita, mengenal pasti bidang kerjasama baharu serta meneroka hala tuju bersama.

“Kepengerusian ASEAN tahun ini telah menunjukkan bahawa nilai yang terkandung dalam AOIP kekal utuh,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah dalam ucapannya berkata ASEAN mesti memperkukuh keyakinan dan keteguhan iltizamnya bagi memastikan  blok itu kekal relevan meskipun berdepan cabaran global dan serantau yang tidak menentu.

Beliau berkata forum tahun ini akan membincangkan halangan perdagangan dan ketegangan geopolitik, bagaimana AOIP boleh diselaraskan bagi merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045, langkah membina keyakinan dalam bidang maritim, serta meneroka cara pemain serantau dapat bergerak ke arah pertumpuan lebih erat antara pelbagai strategi Indo-Pasifik.

Forum AOIP 2025 sehari itu dianjurkan bersama Kementerian Luar dan ISIS Malaysia, dan akan bermula secara rasmi pada 15 Nov di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA