ASEAN Gesa Penyelesaian Diplomatik, Henti Segera Pertempuran Di Asia Barat

13/03/2026 09:38 PM

KUALA LUMPUR/BANGKOK, 13 Mac (Bernama) -- Menteri-menteri Luar ASEAN menggesa penyelesaian diplomatik dan aman bagi menangani krisis yang semakin meruncing di Asia Barat, selain memberi amaran tentang potensi impak terhadap harga tenaga, inflasi dan keterjaminan makanan di seluruh rantau ini.

Menteri-menteri berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas mengenai situasi di Asia Barat yang diadakan melalui persidangan video pada Jumaat, melahirkan kebimbangan serius terhadap konflik itu.

Mereka menyeru semua pihak agar menghentikan segera pertempuran, mengamalkan kawalan diri sepenuhnya dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan, serta melindungi orang ramai dan infrastruktur awam.

“Mesyuarat ini menegaskan semula kewajipan semua negara untuk menyelesaikan perbezaan melalui cara aman serta menghormati kedaulatan dan integriti wilayah semua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan Pengerusi itu.

Menteri-menteri itu turut menekankan  komitmen bersama untuk memberikan bantuan kecemasan kepada rakyat negara anggota ASEAN di kawasan yang terjejas, selaras dengan Deklarasi ASEAN.

“Kami menghargai bantuan dan usaha yang dilakukan oleh rakan negara anggota ASEAN dalam hal ini. Mesyuarat juga menekankan kepentingan meneroka kemungkinan kerjasama yang saling menguntungkan dengan pihak luar,” katanya.

Mengenai kesan konflik terhadap aktiviti ekonomi global, Menteri-menteri Luar ASEAN menegaskan kepentingan mengekalkan rantaian bekalan tenaga global dan laluan perdagangan maritim yang stabil, terbuka serta dipercayai, selain meminimumkan gangguan terhadap aliran tenaga dan barangan keperluan, termasuk makanan, bagi menjamin kestabilan ekonomi di ASEAN.

Para menteri juga menggariskan kepentingan memperkukuh kerjasama serantau dalam aspek keselamatan dan kepelbagaian tenaga, kesalinghubungan  serta daya tahan ekonomi.

Mereka turut menggesa penggunaan sepenuhnya mekanisme dan rangka kerja sedia ada, termasuk Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA), Grid Kuasa ASEAN dan Saluran Paip Gas Trans-ASEAN, bagi meningkatkan perundingan, perkongsian maklumat dan memperkukuh daya tahan serantau.

Sementara itu di BANGKOK, Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow berkata Menteri-menteri Luar ASEAN telah menilai kemungkinan kesan konflik itu dan merancang untuk menangani cabaran berkenaan melalui mekanisme kerjasama seperti APSA, yang membolehkan perkongsian minyak secara sukarela dalam kalangan negara anggota ketika berlaku kekurangan bekalan.

"Setiap negara anggota telah mengambil langkah untuk meminimumkan impak bagi mengurangkan penggunaan tenaga dalam pelbagai cara. Mungkin kita harus memikirkan bagaimana rangka kerja ini boleh diaplikasikan dengan lebih baik dalam situasi seperti ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

"Kami juga berbincang mengenai penggunaan Grid Kuasa ASEAN. Satu grid kuasa utama adalah dari Laos ke Thailand, Malaysia dan Singapura. Laos boleh membekalkan tenaga hidroelektrik kepada negara-negara di sepanjang grid kuasa itu," katanya sambil menambah bahawa blok itu juga sedang mengusahakan kerjasama tenaga bersih dengan negara-negara pengeluar minyak utama.

Mengenai bantuan kepada rakyat ASEAN, Sihasak berkata negara anggota pada dasarnya bersetuju untuk memberikan perlindungan dan bantuan rentas negara bagi warga ASEAN dalam kes di mana sesetengah ahli tidak mempunyai misi diplomatik di kawasan berisiko tinggi.

Beliau memberi contoh di mana Singapura telah mengatur penerbangan sewa khas ke Arab Saudi yang turut membawa keluar rakyat dari negara anggota ASEAN yang lain.

Mesyuarat itu dicadangkan oleh Thailand dan dipengerusikan oleh Filipina selaku Pengerusi ASEAN ketika ini.

-- BERNAMA