ASEAN Perkasa Perdagangan Serantau Bagi Tangani Impak Krisis Asia Barat
MANILA, 1 Mei (Bernama-PNA) -- Menteri-menteri ekonomi negara Asia Tenggara mengemukakan cadangan bagi memperkukuh perdagangan serantau, daya tahan rantaian bekalan dan tindak balas terselaras terhadap kejutan luar, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Filipina, yang diwakili Setiausaha Perdagangan Ma. Cristina Roque, mempengerusikan Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN pada Khamis bagi membincangkan implikasi ekonomi susulan krisis Asia Barat yang berterusan.
“Kami menegaskan semula kepentingan kritikal untuk mengekalkan rantaian bekalan global dan laluan perdagangan maritim yang stabil, selamat, mampan dan berdaya tahan, khususnya bagi barangan dan perkhidmatan penting,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat.
Menteri-menteri itu berkata negara masing-masing akan “memperkukuh perdagangan antara ASEAN dan kesalinghubungan rantaian bekalan” melalui penyelarasan logistik yang lebih baik, perkongsian maklumat tepat pada masanya dan rundingan berterusan.
Mereka turut bersetuju mengelak daripada memperkenalkan langkah bukan tarif yang tidak perlu ketika krisis, sambil memastikan infrastruktur perdagangan seperti sempadan darat, lapangan terbang dan pelabuhan terus dibuka sekiranya boleh.
Menteri-menteri itu juga menyokong ratifikasi segera dan penguatkuasaan tepat pada masanya dalam 2026 bagi Protokol Kedua untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN, yang menaik taraf perjanjian asal bagi menambah baik fasilitasi perdagangan, penyelesaian pertikaian dan ketelusan di rantau ini.
Mereka berkata kesan krisis Asia Barat yang semakin meningkat terhadap pasaran tenaga global, keterjaminan makanan dan pengangkutan “semakin menjejaskan” perniagaan di seluruh Asia Tenggara, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan “mungkin perlu” bagi negara anggota ASEAN melaksanakan langkah kecemasan untuk menangani cabaran itu.
Bagaimanapun, mereka menegaskan langkah itu perlu bersasar, seimbang, telus, sementara dan tidak mewujudkan halangan perdagangan yang tidak perlu serta selaras dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan ASEAN.
Menteri-menteri itu akan menyerahkan hasil mesyuarat dan cadangan utama berkaitan kesiapsiagaan serantau kepada pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu pada 8 Mei.
-- BERNAMA-PNA
