Mesyuarat AMAF: Malaysia Komited Perkukuh Kerjasama Keterjaminan Makanan ASEAN
PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Malaysia komited memperkukuh daya tahan bekalan makanan ASEAN serta kerjasama serantau dalam mendepani ketidaktentuan global yang boleh menjejaskan sektor pertanian, perdagangan dan input makanan asas.
Komitmen itu dinyatakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) secara maya pada 29 April lepas, bagi membincangkan perkembangan terkini konflik di Asia Barat serta kesannya terhadap keterjaminan makanan serantau.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia menyokong usaha bersama ASEAN untuk mempertingkat kerjasama teknikal, pembangunan kapasiti serta pelaburan dalam sistem pertanian yang mampan, inklusif, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan regeneratif.
“Penyelarasan rentas sektor yang lebih kukuh dalam ASEAN amat penting bagi menangani cabaran yang saling berkait melibatkan keterjaminan tenaga, bekalan baja, logistik dan keterjaminan makanan secara menyeluruh serta tersusun,” maklum kenyataan itu.
Menurut KPKM, mesyuarat itu turut menetapkan Sekretariat ASEAN sebagai pusat penyelarasan untuk berhubung dengan pihak berkepentingan, rakan dialog dan kumpulan kerja sektoral berkaitan.
Selain itu, Malaysia turut berkongsi langkah kesiapsiagaan domestik dalam mengurus risiko luaran, termasuk pengaktifan mekanisme pengurusan krisis, mesyuarat pemantauan mingguan antara kementerian, serta penyelarasan rapat yang diterajui Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi memastikan bekalan makanan kekal stabil dan tekanan inflasi dapat dikawal.
“Komoditi keutamaan yang dipantau rapi merangkumi ayam dan telur, sayur-sayuran terpilih, hasil perikanan serta beras, manakala faktor risiko utama seperti bekalan diesel, ketersediaan baja dan kos makanan ternakan terus dinilai dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
KPKM kekal komited dalam melaksanakan perancangan proaktif, intervensi bersasar serta memperkukuh kerjasama ASEAN bagi menjamin keterjaminan makanan serantau, melindungi rantaian bekalan dan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
-- BERNAMA
