ASEAN Beri Amaran Konflik Asia Barat Ganggu Tenaga, Rantaian Bekalan Dan Ancam Pertumbuhan Serantau

01/05/2026 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Menteri-menteri ekonomi ASEAN berkata konflik di Asia Barat semakin mengganggu pasaran tenaga global, rantaian bekalan, keterjaminan makanan serta rangkaian pengangkutan dan logistik, sekali gus memberi tekanan yang semakin meningkat kepada ekonomi serantau dan mengancam pertumbuhan.

Menteri-menteri Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) mengadakan mesyuarat khas secara sidang video pada Khamis bagi membincangkan kesan ekonomi meluas akibat situasi itu.

Dalam kenyataan bersama, mereka memberi amaran bahawa gangguan terhadap laluan maritim utama, khususnya Selat Hormuz yang merupakan laluan penting bagi minyak dan gas asli cecair (LNG) global dengan lebih 80 peratus menuju ke Asia meningkatkan risiko keselamatan tenaga, mencetuskan ketidaktentuan harga serta menaikkan kos tambang, insurans dan logistik.

Mereka berkata kesan kejutan itu turut melangkaui pasaran tenaga, sekali gus menimbulkan tekanan inflasi, ketidaktentuan kadar pertukaran, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta ketidaktentuan yang semakin meningkat kepada perniagaan dan pelabur.

Menteri-menteri itu berkata kenaikan kos tenaga dan pengangkutan turut memberi kesan kepada sistem makanan, termasuk kenaikan harga baja dan mengganggu rantaian bekalan.

“Keadaan ini menjejaskan kemampuan serta akses tepat pada masanya kepada baja, khususnya menjelang musim penanaman utama, sekali gus berisiko menurunkan produktiviti pertanian dan mengganggu bekalan makanan,” menurut mereka.

Mereka turut menegaskan komitmen ASEAN untuk mengelakkan halangan perdagangan yang tidak perlu terhadap barangan penting ketika krisis, selain memastikan kelancaran aliran barangan melalui penyelarasan lebih baik, perkongsian maklumat dan prosedur kastam secara digital, di samping memastikan sempadan, lapangan terbang dan pelabuhan terus dibuka sekiranya boleh.

Blok itu juga menggariskan cadangan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) untuk mengkaji mekanisme simpanan minyak bersama serantau, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas memperkukuh daya tahan tenaga melalui kepelbagaian sumber, pembangunan tenaga boleh baharu dan kerjasama serantau yang dipertingkat.

Menteri-menteri berkenaan bersetuju memperdalam penyelarasan dengan institusi kewangan antarabangsa bagi melindungi kestabilan makroekonomi dan mengurangkan kesan kejutan global serta serantau.

“Integrasi perdagangan dan kewangan yang lebih kukuh serta kepelbagaian pasaran akan terus meningkatkan daya tahan ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Menteri-menteri ekonomi itu turut menegaskan kesediaan untuk terus berhubung secara konstruktif dengan rakan kongsi bagi memastikan sistem perdagangan global kekal terbuka, telus dan tidak bersifat diskriminasi.

Mereka berkata negara anggota ASEAN boleh melaksanakan langkah bersasar dan sementara untuk menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta sektor rentan, sambil komited mempelbagaikan perdagangan dan pelaburan menerusi perjanjian ASEAN, termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dirancang.

Menteri-menteri itu akan menyampaikan hasil mesyuarat berkenaan kepada pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, termasuk cadangan untuk memperkukuh kesiapsiagaan, melindungi rantaian bekalan dan meningkatkan tindak balas terselaras terhadap kejutan luar.

Mereka turut menegaskan kesediaan menyokong pendekatan yang tersusun dan berpandangan jauh bagi memperkukuh daya tahan serantau serta kestabilan ekonomi.

-- BERNAMA