Rekod ASEAN, Rekod ASIA Iktiraf 34 Pencapaian Baharu Di “Gather Of Achievers”

Kredit: ASEAN Records
12/03/2026 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Sebanyak 34 rekod telah menerima pengiktirafan pada acara “8th ASEAN Records and 2nd ASIA Records Gather of Achievers” sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, di sini semalam.

Rekod berkenaan terdiri daripada 16 Rekod ASEAN dan 18 Rekod ASIA.

Menurut kenyataan Rekod ASEAN dan Rekod ASIA, pengiktirafan itu adalah bagi menghargai pencapaian cemerlang dalam pelbagai industri dan sektor.

Kredit: ASEAN Records

Acara yang menghimpunkan lebih 100 pemegang rekod itu mencerminkan visi Rekod ASEAN dan Rekod ASIA untuk menjadi lebih daripada sekadar organisasi penyimpan rekod, malah berperanan sebagai  platform yang menghubungkan dan mengukuhkan komuniti dalam kalangan pemegang rekod.

“Sejak pelancarannya pada Nov 2024, platform ini telah menganjurkan tujuh acara yang menghimpunkan  para pemegang rekod dalam tempoh setahun, mengumpulkan pemegang rekod lama dan baharu untuk berkongsi pengalaman, membina kolaborasi serta meraikan pencapaian,” menurut kenyataan itu.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Chan Foong Hin.

Kredit: ASEAN Records

Antara sorotan utama pada malam itu adalah pelancaran rasmi Rekod Makanan ASEAN dan Rekod Makanan ASIA, yang dirasmikan oleh Chan bersama Pengarah Rekod ASEAN dan ASIA Eldrick Koh dan Gillian Ooi.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bertujuan mengiktiraf pencapaian berkaitan makanan dan gastronomi sambil meraikan kekayaan dan kepelbagaian warisan makanan di ASEAN dan ASIA, selain menekankan kepentingan budaya makanan serta jenama makanan serantau.

“Makanan memainkan peranan penting dalam pelancongan dan identiti budaya. Sebagai subkategori baharu di bawah rangka pengiktirafan Rekod ASEAN dan Rekod ASIA, inisiatif  Rekod Makanan akan mendokumentasi dan mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam aspek makanan, warisan kulinari tradisional dan jenama makanan yang unggul, seterusnya mempromosikan kemeriahan budaya makanan di rantau itu,” katanya.

Kredit: ASEAN Records

Mengenai kemas kini inisiatif Rekod Pelancongan ASEAN dan ASIA, yang menerima pengiktirafan pada Feb 2026 oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Rekod Pelancongan kini muncul sebagai subkategori baharu di bawah rangka Rekod ASEAN dan ASIA, bertujuan mendokumentasi destinasi pelancongan melalui rekod yang disahkan serta boleh diukur.

Dengan mengiktiraf ciri unik, warisan dan kepentingan sejarah sesebuah destinasi pelancongan, maka inisiatif ini membantu orang ramai memahami dengan lebih baik kisah dan identiti di sebalik destinasi berkenaan, sambil menyokong kempen pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pada acara itu, Rekod ASEAN turut mengumumkan Pengasas Malaysia Book of Records Tan Sri Danny Ooi telah menyertai organisasi itu sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat.

“Berpengalaman lebih 30 tahun dalam mendokumentasi pencapaian dan penyimpanan rekod, kepimpinan dan bimbingan Tan Sri Danny Ooi akan memperkukuhkan pembangunan Rekod ASEAN dalam memperluas platform pengiktirafan di seluruh rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina, acara berkenaan turut menampilkan pelbagai persembahan dan aktiviti budaya, termasuk persembahan tarian singa akrobatik diod pancaran cahaya (LED), yang melambangkan kemakmuran dan tuah untuk tahun hadapan.

Acara itu juga menampilkan persembahan Face Mask Changing (Bian Lian) oleh Jin Long, seorang personaliti terkenal yang sebelum ini pernah menjadi penyampai radio di Melody FM.

Beliau memukau penonton dengan seni opera Sichuan yang dramatik dalam pertukaran topeng secara serta-merta.

Menambah lagi kemeriahan suasana perayaan, Master Suyen kembali untuk tahun kedua bagi menyampaikan ceramah Feng Shui, berkongsi pandangan mengenai kemakmuran dan tenaga positif untuk tahun yang mendatang.

-- BERNAMA