Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN Berkenaan Kemboja-Thailand Ditangguhkan Ke Isnin Depan – Wisma Putra

15/12/2025 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) berkenaan situasi di Kemboja dan Thailand, yang asalnya dijadualkan pada Selasa (16 Dis) telah ditangguhkan ke hari Isnin depan (22 Dis) atas permintaan Thailand.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan media berkata Mesyuarat Khas AMM itu akan dipengerusikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi pihak Malaysia selaku Pengerusi ASEAN semasa.

“Penganjuran Mesyuarat Khas AMM ini adalah susulan kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Hun Manet dari Kemboja dan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul dari Thailand pada 11 Dis dalam usaha menangani situasi antara Kemboja dan Thailand,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata rundingan sedang dijalankan untuk mengendurkan ketegangan antara dua negara anggota ASEAN itu.

“Namun, kami terus merayu kedua-dua pihak untuk menghentikan pertempuran. Situasi ini amat genting, dan saya kekal berhubung secara maya dengan mereka setiap hari,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran buku “The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris” di Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia di sini pada Isnin.

Malaysia sebelum ini telah menyeru kedua-dua Thailand dan Kemboja menghentikan semua bentuk permusuhan dan menahan diri daripada sebarang tindakan lanjut dari segi ketenteraan, termasuk pergerakan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, susulan pertempuran semula di kawasan sempadan.

-- BERNAMA