AS Umum Dana US$45 Juta Sokong Pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bantuan kewangan berjumlah US$45 juta kepada Kemboja dan Thailand bagi pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur, yang bertujuan menstabilkan kawasan sempadan kedua-dua negara susulan konflik baru-baru ini.
Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Michael George DeSombre, membuat pengumuman itu dalam satu taklimat media secara digital di sini pada Jumaat, dengan menekankan komitmen Washington terhadap keamanan berkekalan di rantau ini di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
DeSombre berkata bantuan kewangan itu merangkumi US$15 juta untuk penstabilan sempadan bagi membantu penduduk terjejas, US$10 juta untuk operasi pembersihan periuk api dan pelupusan bahan letupan yang tidak meletup, serta US$20 juta untuk inisiatif membanteras kegiatan penipuan dan pengedaran dadah.
“Pemulihan keamanan di sempadan Thailand-Kemboja membuka peluang baharu kepada AS untuk memperdalam kerjasama dengan kedua-dua negara bagi mempromosi kestabilan serantau dan mengukuhkan kepentingan kami dalam mewujudkan Indo-Pasifik yang selamat, kukuh dan makmur,” katanya dalam taklimat maya itu.
Beliau memaklumkan berada di Bangkok untuk bertemu pegawai kanan Thailand dan akan berlepas ke Phnom Penh esok bagi meneruskan perbincangan dengan rakan sejawat Kemboja mengenai pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Ditanya mengenai garis masa penyaluran dana, beliau berkata perincian khusus masih dimuktamadkan sebagai sebahagian daripada proses yang sedang berjalan.
“Kami baru mengumumkan dan menyampaikan maklumat ini kepada Thailand hari ini, dan esok kami akan berbincang dengan Kemboja. Jadi, kami akan berbincang dengan mereka untuk menentukan kaedah penyaluran dan jadualnya,” katanya sambil menegaskan bahawa AS “amat komited” memastikan dana tersebut digunakan dengan berkesan.
DeSombre turut menegaskan bahawa AS kekal aktif terlibat, dengan Presiden Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio mengekalkan komunikasi langsung dengan pemimpin rantau ini bagi memastikan komitmen dipatuhi.
Apabila ditanya mengenai isu penandaan sempadan, beliau menjelaskan bahawa walaupun AS bersedia memberikan sokongan, kerja Suruhanjaya Sempadan Bersama dijangka diselesaikan secara dua hala antara Thailand dan Kemboja.
Sementara itu, DeSombre turut menyebut peranan penting Malaysia dalam usaha pengantaraan konflik berkenaan, khususnya memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata selepas campur tangan tegas oleh Presiden Trump pada Julai untuk meredakan ketegangan, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bertindak pantas menganjurkan rundingan gencatan senjata bersama.
“Dalam proses mencapai Perjanjian Damai Kuala Lumpur, kami benar-benar melihat penglibatan aktif Malaysia sebagai pengerusi ASEAN ketika itu, menunjukkan kemampuan pengerusi ASEAN untuk terlibat secara proaktif dalam mempromosi keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
Beliau turut mengiktiraf gencatan senjata 28 Julai 2025 sebagai hasil usaha pengantaraan Trump dan Anwar.
Selain itu, beliau berkata kepimpinan Menteri Luar Malaysia dalam menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 22 Dis adalah faktor penting dalam memulihkan keamanan pada 27 Dis selepas pertempuran kembali tercetus awal bulan itu.
Berhubung kebimbangan mengenai ketahanan gencatan senjata, Penolong Setiausaha Negara AS itu menyatakan keyakinan terhadap mekanisme pelbagai hala yang kini diwujudkan, termasuk penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).
Beliau berkata AS percaya mekanisme pelbagai hala yang melibatkan AOT amat membantu dalam mengekalkan perjanjian damai tersebut.
Beliau turut menyentuh pilihan raya Thailand yang dijadualkan pada 8 Feb, dan menyatakan keyakinan bahawa kerajaan Thailand, tanpa mengira keputusan, akan terus melaksanakan perjanjian damai itu.
-- BERNAMA
