ASEAN Mampu Jadi Bateri Dunia Menerusi Integrasi Grid Pintar - Fadillah

JAKARTA, 11 Feb -- Timbalan Perdana Menteri ynag juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menjadi ahli panel Peringkat Tertinggi ASEAN Climate Forum (ACF), yang bertemakan “ASEAN Climate Diplomacy” di sini hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
11/02/2026 07:58 PM

JAKARTA, 11 Feb (Bernama) -- ASEAN perlu mempercepat pembangunan sistem grid pintar dan pendigitalan bagi memperkukuh kerjasama tenaga serantau, sekali gus meletakkan blok itu sebagai pemain utama tenaga hijau global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pendigitalan mesti dipertingkatkan bagi menyokong sambungan elektrik merentas sempadan dalam kalangan negara anggota, di samping menambah baik penyelarasan dalam menguruskan sistem tenaga serantau.

“Kami perlu meneliti sistem grid pintar. Pendigitalan perlu dilaksanakan supaya kami dapat berkongsi dan membantu antara satu sama lain dan akhirnya ASEAN menjadi penjana kuasa atau ‘bateri’ kepada dunia.

Ini akan menjadi daya tarikan di mana semua pihak akan berkongsi komitmen bukan sahaja untuk tebatan iklim, tetapi juga untuk inisiatif hijau,” katanya semasa sesi panel di Forum Iklim ASEAN di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ASEAN mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain utama dalam ekonomi hijau.

“ASEAN mempunyai peluang itu. Hanya jika kami dapat bekerjasama dan berganding bahu, ASEAN akan makmur,” katanya.

Turut menyertai sesi itu ialah Utusan Khas Presiden Indonesia bagi Tenaga dan Iklim, Hashim Djojohadikusumo.

Fadillah berkata Malaysia bersedia untuk menyumbang dan menyokong Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun ini bagi meneruskan agenda itu, terutamanya dalam memajukan inisiatif Grid Kuasa ASEAN yang telah mendapat komitmen US$2 bilion daripada Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.

Sehubungan itu, beliau berkata pembiayaan campuran dan pelaburan luar kekal kritikal bagi menyokong ASEAN mencapai kesalinghubungan grid serantau.

Beliau berkata usaha sedang giat dijalankan untuk meningkatkan kesalinghubungan di seluruh ASEAN menerusi projek seperti inisiatif Grid Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah, Kalimantan serta Brunei dengan Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut.

 Fadillah berkata Semenanjung Malaysia ketika ini sudah pun terhubung dengan Singapura, Thailand dan Laos, manakala perjanjian juga telah ditandatangani antara Malaysia dan Vietnam untuk kesalinghubungan melalui kabel dasar laut.

“Jadi Vietnam juga akan dihubungkan dari situ ke Kemboja dan akan terus ke Laos, manakala melalui kabel dasar laut ke Malaysia. Dari Singapura, kita terhubung ke Batam, dan akhirnya ke Filipina.

Dari Sarawak, ia sudah pun dihubungkan ke Sabah. Sabah pula akan dihubungkan ke Filipina. Maka, seluruh ASEAN akan terhubung. Itulah cara kita boleh berkongsi sumber,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jakarta bermula semalam.

-- BERNAMA