Myanmar-Thailand Adakan Perbincangan Untuk Eratkan Semula Hubungan Naypyidaw Dan ASEAN
Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 19 Feb (Bernama) -- Thailand dan Myanmar sedang berbincang untuk memulihkan semula hubungan Myanmar dengan ASEAN selepas hubungan dengan blok serantau itu terjejas berikutan pengambilalihan kuasa oleh tentera lima tahun lepas.
Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan rakan sejawatnya dari Myanmar, U Than Swe, di Phuket pada Rabu.
Kedua-dua menteri membincangkan pelbagai isu semasa, termasuk peranan ASEAN dan usaha menangani penipuan dalam talian.
"Kedua-dua menteri bertukar pandangan mengenai langkah ke hadapan bagi menggalakkan penglibatan semula yang terancang antara ASEAN dan Myanmar, dengan Thailand bertindak sebagai jambatan penghubung.
"Ini termasuk terus menggalakkan perkembangan positif di Myanmar dengan mengambil kira selesainya pilihan raya di negara itu serta pembentukan kerajaan baharu Myanmar yang akan datang," menurut kenyataan Kementerian Luar Thailand pada Khamis.
Sementara itu, media rasmi The Global New Light of Myanmar melaporkan bahawa kedua-dua delegasi membincangkan usaha mempergiat langkah menangani jenayah rentas sempadan seperti penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia dan pengedaran dadah.
Myanmar telah selesai melaksanakan pilihan raya tiga fasa pada 25 Jan, susulan fasa pertama pada 28 Dis tahun lepas dan fasa kedua pada 11 Jan. Ini merupakan pilihan raya pertama sejak pihak tentera menggulingkan kerajaan awam pada Februari 2021.
Menurut laporan media, Parti Union Solidarity and Development (USDP) yang disokong tentera bakal membentuk kerajaan baharu tidak lama lagi selepas mencatatkan kemenangan besar.
-- BERNAMA
