Pelan Strategik Kementerian Luar 2026-2030 Tetapkan Hala Tuju Diplomasi Global Malaysia

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Pelan Strategik Kementerian Luar 2026–2030 bersempena Majlis Berbuka Puasa MADANI Kementerian Luar 2026
23/02/2026 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pelan Strategik Kementerian Luar 2026-2030 yang dilancarkan pada Isnin menjadi kerangka panduan bagi penglibatan berterusan Malaysia dengan negara lain, organisasi antarabangsa dan pihak berkepentingan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut dokumen itu, pelan berkenaan berteraskan kepentingan, nilai dan keutamaan negara, serta selaras dengan prinsip dan tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Piagam ASEAN dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pelan itu menggariskan pendekatan Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam memperkukuh komitmen teguh Malaysia terhadap penglibatan dua hala, serantau dan pelbagai hala menerusi diplomasi yang berprinsip, pragmatik dan berpandangan jauh.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memuji kementerian atas penerbitan Pelan Strategik itu, menyifatkannya sebagai manifestasi jelas tekad Malaysia untuk mengharungi landskap antarabangsa yang semakin kompleks dengan penuh keyakinan dan tujuan yang jelas.

“Menerusi Pelan ini, Wisma Putra berhasrat menetapkan keutamaan yang jelas bagi dasar luar Malaysia yang berdaya tahan, anjal dan diperkukuh oleh perkongsian antarabangsa yang kukuh. Ia menggariskan bagaimana Malaysia akan berinteraksi dengan dunia yang berubah, sambil memastikan diplomasi kita kekal berprinsip dan pragmatik,” katanya dalam prakata.

Beliau menegaskan ASEAN kekal sebagai tunjang dasar luar Malaysia, sambil menambah bahawa di luar konteks serantau, Malaysia akan terus mempergiat kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan dan tenaga boleh baharu, selain memperluas kerjasama Selatan-Selatan berasaskan prinsip saling menghormati dan kepentingan bersama.

Mohamad berkata menerusi Pelan Strategik ini, Malaysia menegaskan semula peranan aktif dan kepimpinannya di platform global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dalam memperjuangkan dunia yang lebih adil, inklusif dan mampan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata Pelan Strategik itu menggariskan hala tuju Wisma Putra dalam memperkukuh kedudukan global Malaysia dengan mempromosi dan menyelaraskan nilai teras Malaysia MADANI dalam penglibatan strategik negara.

Beliau berkata pelan berkenaan berteraskan kerangka dasar negara yang lebih luas, termasuk Kerangka Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), bagi memastikan dasar luar dan transformasi institusi Malaysia menyokong secara langsung usaha kerajaan ke arah pertumbuhan mampan, daya tahan dan kemakmuran bersama.

Amran berkata selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, inisiatif diplomatik Wisma Putra akan menumpukan kepada menarik pelaburan strategik, memperluas hubungan perdagangan dan teknologi, serta terus meningkatkan reputasi Malaysia sebagai rakan yang boleh dipercayai dan berpandangan jauh dalam ekonomi global.

“Pelaksanaan Pelan Strategik ini juga akan membolehkan Wisma Putra menyokong objektif RMK13 yang memberi keutamaan kepada pertumbuhan berteraskan inovasi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial melalui perkongsian antarabangsa yang lebih mendalam, pengukuhan kerjasama dua hala dan serantau, serta memperkasakan peranan aktif dan kepimpinan Malaysia di forum pelbagai hala,” katanya dalam prakata.

Amran berkata penekanan pelan terhadap transformasi digital, kecemerlangan prestasi dan pembangunan bakat akan memastikan Wisma Putra kekal sebagai organisasi yang dinamik dan cekap, bersedia memenuhi keperluan domestik serta menangani cabaran global yang sentiasa berubah, di samping menyokong objektif ARPA untuk memodenkan dan memperkasa profesionalisme penyampaian perkhidmatan awam.

Pelan Strategik 2026-2030 itu dibangunkan berasaskan pencapaian Pelan Strategik 2021-2025 serta dapatan semakan pertengahannya, berpandukan Kerangka Ekonomi MADANI dan RMK13, serta meneruskan legasi dan kemajuan hasil Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025.

Berteraskan lapan teras strategik yang disokong oleh 33 strategi utama dan 139 program sasaran, pelan ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan setiap teras disokong oleh hasil yang boleh diukur, petunjuk prestasi utama (KPI) serta kerangka pemantauan dan penilaian.

Setiap teras strategik mewakili tonggak utama agenda diplomatik Malaysia, daripada memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala, memperkasa diplomasi ekonomi, memperjuangkan pembangunan mampan, memanfaatkan teknologi digital, hingga melindungi kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.

“Secara keseluruhan, Pelan Strategik 2026-2030 bukan sahaja bertujuan memperkukuh pencapaian diplomatik Malaysia, malah merintis laluan baharu untuk memajukan dasar luar negara selaras dengan kepentingan, nilai dan keutamaan nasional, berteraskan Malaysia MADANI,” menurut dokumen itu.

-- BERNAMA