Malaysia Terima Peralatan Dari Jepun Untuk Pasukan Pemerhati Konflik Thailand-Kemboja

Kredit: Kyodo
09/04/2026 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama-Kyodo) -- Malaysia menerima peralatan bernilai 9 juta yen (US$56,800) daripada Jepun pada Rabu sebagai sebahagian daripada bantuannya untuk memperkukuh pasukan pengaman Asia Tenggara yang memantau konflik di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.

Kyodo News melaporkan peralatan itu adalah sebahagian daripada pakej bantuan bernilai 3.1 bilion yen yang dipersetujui Jepun untuk diberikan kepada Malaysia menerusi perjanjian yang ditandatangani pada Oktober lepas ketika Perdana Menteri Sanae Takaichi melawat negara ini.

Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata sokongan kepada pasukan pemerhati itu di bawah rangka kerja dikenali sebagai Official Security Assistance (OSA), yang dilancarkan Jepun pada 2023 untuk menyediakan peralatan pertahanan kepada negara-negara yang sehaluan, merangkumi pemancar radio, komputer riba, pencetak dan monitor televisyen.

Pasukan pengaman itu beroperasi di bawah naungan ASEAN yang dianggotai 11 negara anggota termasuk Thailand, Kemboja dan Malaysia.

“Pada tahun lepas, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN memainkan peranan penting dalam memudah cara perjanjian atau mekanisme bagi pelaksanaan pasukan pemerhati ASEAN,” kata Shikata pada majlis penyerahan di Kementerian Pertahanan Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Datuk Malek Razak Sulaiman berkata pada Rabu bahawa Malaysia akan menyerahkan peranan utama pasukan pemerhati ASEAN kepada Filipina menjelang akhir April memandangkan negara itu kini mengambil alih jawatan pengerusi blok serantau berkenaan.

Jepun sebelum ini turut menyalurkan peralatan bernilai 400 juta yen seperti dron dan bot penyelamat, yang telah diserahkan tahun lepas di bawah skim OSA.

-- BERNAMA-KYODO