ASEAN, ADB Lancar Dana Ketersambungan Serantau US$25 Juta Bagi Tenaga
MANILA, 9 April (Bernama-PNA) -- ASEAN dan Bank Pembangunan Asia (ADB) sedang menggerakkan pembiayaan bernilai US$25 juta bagi mempercepat pelaburan grid tenaga ASEAN serta menyokong akses kepada bekalan elektrik yang boleh dipercayai di rantau ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dana Keterhubungan Serantau (RCF) bagi Tenaga di bawah Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) dilancarkan secara rasmi semasa Mesyuarat Timbalan Menteri Kewangan ASEAN 2026 (AFDM) pada 7 April, menurut Sekretariat ASEAN 2026 pada Khamis.
Dengan pembiayaan awal US$25 juta daripada Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, Jerman dan United Kingdom, RCF akan membiayai geran serta menyediakan bantuan teknikal bagi membangunkan projek tenaga rentas sempadan di seluruh rantau ini.
Ini termasuk kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk kejuruteraan, penstrukturan kewangan dan penilaian langkah perlindungan.
Dana itu juga akan membiayai aktiviti berkaitan nasihat dasar, penambahbaikan kawal selia, pembangunan kapasiti dan perkongsian pengetahuan bagi memperkukuh persekitaran yang membolehkan pelaksanaan grid tenaga ASEAN.
Grid tenaga ASEAN ialah inisiatif utama blok serantau itu untuk mencapai operasi grid elektrik bersepadu sepenuhnya menjelang 2045.
Pada AFDM itu, pegawai kanan kewangan ASEAN turut menekankan keperluan menyelaraskan keutamaan serta melindungi sumber awam ketika ruang fiskal semakin sempit dan ketidaktentuan global meningkat.
Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh pengurusan kewangan awam, menggerakkan pelaburan dan memastikan dasar fiskal terus responsif terhadap cabaran semasa -- daripada ketidaktentuan pasaran tenaga hingga gangguan rantaian bekalan.
Mesyuarat itu juga meluluskan Platform Dasar Pembiayaan Iklim ASEAN, satu inisiatif yang dilancarkan ADB pada 2024 untuk mempertingkat pertukaran pandangan mengenai perubahan iklim dalam kalangan kementerian kewangan ASEAN.
-- BERNAMA-PNA
