Perpaduan ASEAN Penting Tangani Cabaran Keselamatan Maritim
MANILA, 12 April (Bernama-PNA) -- Perpaduan dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) adalah penting dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin berkembang di rantau ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Panglima Angkatan Tentera Filipina (AFP) Jeneral Romeo Brawner Jr. berkata negara anggota ASEAN yang bersatu akan mengekalkan kestabilan serantau.
“ASEAN sentiasa mendapat kekuatannya daripada kesepakatan tujuan. Perpaduan itu mesti terus membimbing kita bukan sahaja dalam memelihara apa yang telah kita bina -- tetapi juga dalam membentuk apa yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Brawner mengeluarkan kenyataan itu semasa Simposium Keselamatan Maritim Tentera Laut Filipina 2026 bertemakan “Maritime Security in Southeast Asia: Navigating Continuity and Change Through ASEAN.”
Beliau menekankan peranan simposium itu sebagai platform kerjasama bermakna dan tindakan kolektif dalam kalangan rakan serantau.
“Biarlah simposium ini berfungsi bukan sahaja sebagai wadah dialog, tetapi sebagai komitmen bersama untuk bertindak dengan jelas, bekerjasama dengan tujuan, dan menegakkan domain maritim sebagai sumber kestabilan dan perhubungan untuk semua,” katanya.
-- BERNAMA-PNA
