Perang AS-Israel Terhadap Iran Tingkatkan Risiko Kepada ASEAN, Malaysia

-- REUTERS/Thaier Al-Sudani
15/04/2026 10:25 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran sedang mengubah landskap keselamatan serantau, dengan Malaysia dan ASEAN berdepan pendedahan yang semakin meningkat kepada kerentanan ekonomi dan strategik susulan ketegangan yang memuncak di Asia Barat.

Prof Dr Gurol Baba, Dekan Fakulti Sains Politik, Universiti Sains Sosial Ankara berkata konflik itu telah berkembang dengan pantas menjadi krisis global yang lebih luas, sekali gus menunjukkan bagaimana ketidakstabilan di Asia Barat boleh dengan cepat merebak kepada risiko lebih besar kepada Malaysia, ASEAN dan dunia Islam.

--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Perang AS-Israel terhadap Iran bukan sahaja konflik Asia Barat, malah ia juga merupakan krisis strategik ASEAN, kejutan ekonomi kepada Malaysia dan ASEAN, serta ujian besar kepada dunia Islam.

“Dari perspektif rentas wilayah, ketidakamanan di Asia Barat kini menghasilkan kerentanan segera kepada ASEAN. Pada masa lalu, kita boleh bercakap tentang pemisahan yang jelas antara cabaran keselamatan di Asia Barat dan kemakmuran di ASEAN,” katanya.

Berucap pada forum bertajuk, Perang AS-Israel terhadap Iran: Implikasi kepada Malaysia, ASEAN dan Dunia Islam yang dianjurkan Persatuan Sains Sosial Malaysia menerusi Zoom pada Rabu, Baba berkata gangguan terhadap laluan maritim utama dan pasaran tenaga menyerlahkan peningkatan pendedahan ASEAN kepada ketidakstabilan di Asia Barat, khususnya melalui laluan sempit kritikal seperti Selat Hormuz, iaitu kira-kira 80 peratus minyak dan produk petroleum yang melalui laluan itu menuju ke Asia.

Beliau menambah bahawa walaupun berdepan risiko itu, ASEAN telah mengeluarkan kenyataan bersama dan menyelaras respons, namun blok serantau itu masih terhad dalam keupayaannya mempengaruhi tingkah laku kuasa besar yang terlibat dalam konflik berkenaan.

“ASEAN boleh menyelaras, berunding dan mengeluarkan kenyataan bersama. Ia boleh mengurus sebahagian daya tahan. Namun ASEAN, dengan keupayaan semasanya, dilihat tidak mampu membentuk tingkah laku ketenteraan teras pihak-pihak utama yang bertelagah dalam konflik ini. Maka kekuatan ASEAN ialah kerjasama serantau, tetapi juga kekurangan pengaruh strategik,” katanya.

Dalam konteks itu, beliau berkata Malaysia, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan, kekal sebagai sebuah “negara terkesan” berikutan tahap integrasi yang mendalam dengan perdagangan global dan rantaian bekalan, selain mengekalkan diplomasi aktif dalam suasana ketidaktentuan yang semakin meningkat, termasuk dengan Turkiye.

Dari sudut ekonomi, Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah Prof Emeritus Jomo Kwame Sundaram berkata Malaysia perlu mula menangani isu keselamatan makanan secara lebih sistematik susulan gangguan global yang semakin meningkat dalam pasaran baja dan tenaga berkait perang AS-Israel terhadap Iran.

Berucap pada forum sama, beliau berkata pengeluaran kebanyakan baja memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi, dengan kesannya terhadap pengeluaran makanan dijangka berlaku secara berperingkat, sambil menambah bahawa banyak sumber yang digunakan di Asia Tenggara diperoleh dari Teluk.

“Malaysia perlu mula memikirkan secara serius tentang keselamatan makanan secara sistematik,” katanya.

Jomo, yang juga Profesor Adjung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata Malaysia turut berdepan cabaran berkaitan permintaan tenaga yang tinggi serta bekalan air mencukupi bagi pusat pemprosesan data.

Beliau menambah bahawa gas industri seperti helium, yang digunakan dalam pembuatan semikonduktor dan sistem penyejukan, juga berkemungkinan terjejas memandangkan kebanyakan bekalannya datang dari Teluk.

Usaha untuk menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran masih berterusan, dengan rundingan yang diadakan di Islamabad pada hujung minggu lalu gagal mencapai persetujuan kekal.

Presiden AS Donald Trump menyatakan nada optimistik mengenai prospek menyambung semula rundingan langsung dengan Iran, dengan berkata pada Selasa bahawa rundingan boleh dimulakan semula di Pakistan dalam tempoh dua hari akan datang.

Pakistan sebelum ini menjadi perantara kepada gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April, yang masih berkuat kuasa, sekali gus memberi kelegaan sementara di tengah ketidaktentuan berterusan berhubung konflik yang lebih luas serta implikasi serantaunya.

-- BERNAMA