DSA 2026 Pacu Matlamat Pertahanan Malaysia, Serlah Keupayaan Teknologi Tempatan
Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026) bakal menjadi platform utama bagi Malaysia untuk meletakkan teknologi pertahanan tempatan di pentas global, mencerminkan usaha negara ke arah membina keupayaan perindustrian dan keandalan diri.
Penyelidik Kanan di Fakulti Kerajaan Universidad del Desarrollo, Chile, Dr Brice Tseen Fu Lee berkata bagi edisi tahun ini kerajaan mengetengahkan firma Malaysia yang membangunkan teknologi asli, termasuk melalui perkongsian yang melibatkan pemindahan teknologi tulen dan inovasi tempatan.
“Ini selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara Malaysia, yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan dalam pemerolehan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan selepas tempoh jaminan (berakhir), dan kerjasama penyelidikan dan pembangunan yang lebih kukuh.
“DSA 2026 bukan sekadar pameran. Ia merupakan batu loncatan bagi Malaysia untuk beralih daripada subkontrak kepada pengeluaran dan pembangunan bersama, sekali gus mengurangkan kebergantungan jangka panjang terhadap teknologi asing,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Di peringkat serantau, Lee berpendapat Malaysia juga memanfaatkan DSA 2026 untuk mengukuhkan solidariti ASEAN dengan menggalakkan pendekatan inklusif dan berkecuali dalam kerjasama keselamatan.
Beliau berkata pendekatan Malaysia itu mencerminkan prinsip dialog dan berkecuali ASEAN, dengan platform tersebut dijangka menangani cabaran bersama seperti kegiatan lanun, keganasan, keselamatan siber dan krisis kemanusiaan.
“DSA membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah kepada pelbagai rakan kerjasama secara serentak, mengekalkan libat urus dengan kuasa-kuasa yang bersaing, dan meneraju perbincangan dalam rangka kerja kolaborasi ASEAN,” katanya.
Di tengah-tengah persaingan global yang semakin sengit, Lee berkata pameran pertahanan seperti DSA bukan lagi menjadi sekadar medan untuk membeli dan menjual perkakasan.
Pameran itu telah berubah menjadi arena untuk membincangkan perkara yang lebih rumit: meraih pengaruh bukan melalui pemerolehan semata-mata tetapi menerusi pembangunan keupayaan jangka panjang.
Beliau berkata kerjasama pertahanan moden tidak lagi dilihat sebagai pihak mana yang menjual senjata paling canggih, sebaliknya lebih bersandarkan kepada kesediaan untuk menyokong pertumbuhan perindustrian dengan pindahan teknologi dan pembangunan kapasiti.
“Autonomi strategik bukan diraih daripada membeli lebih banyak senjata semata-mata, sebaliknya keupayaan untuk mengekalkan, menyesuaikan diri dan menghasilkan keupayaan secara beransur-ansur di dalam negara,” katanya, yang memetik hubungan pertahanan Malaysia yang semakin berkembang dengan Turkiye sebagai contoh kerjasama yang tertumpu pada pembangunan perindustrian.
Penganalisis Hal Ehwal Luar Negeri, Keselamatan dan Strategi Universiti Malaya Collins Chong Yew Keat berkata DSA 2026 membawa tujuan yang melangkaui sekadar pameran, mengukuhkan ekosistem pertahanan Malaysia dengan melabur dalam tenaga kerja dan bukan sekadar perkakasan.
Beliau berkata kontraktor dalam ekosistem pertahanan memikul tanggungjawab untuk menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kepada veteran angkatan tentera, melalui pembelajaran berasaskan kerja dan program kesediaan untuk bekerja.
"Pameran ini bukan untuk sekadar tujuan pemerolehan dan aset tetap sahaja, ia juga perlu mewujudkan saluran bakat, menyediakan pendedahan kepada jurutera muda, inovator dan firma teknologi tempatan, serta membantu ekosistem pertahanan menjadi lebih matang," katanya.
Chong berkata ini memerlukan pendekatan keseluruhan negara yang dapat menyepadukan industri, ahli akademik, institusi penyelidikan, masyarakat sivil, agensi kerajaan dan kumpulan bakat baharu.
Beliau berkata veteran merupakan aset strategik dengan kepakaran serta pandangan mereka perlu dikekalkan dalam ekosistem negara menerusi peranan sebagai juruteknik, pengendali, jurulatih, logistik dan profesional keselamatan.
Pendekatan sedemikian bukan sahaja akan memperkukuh industri domestik malah membina laluan untuk generasi muda menceburi sektor kritikal, meneruskan apa yang telah dilaksanakan oleh tenaga veteran.
“DSA 2026 mesti bersandarkan kepada matlamat jangka panjang, bersepadu dan bersinergi untuk menjadikan pertahanan sebagai keupayaan nasional yang berdasarkan kepada kemajuan dan pengekalan bakat.
"Ini akan menyediakan penampan jangka panjang yang dinamik, kebolehsuaian dan daya tahan yang akan membentuk perisai yang lebih andal dalam mendepani ketidaktentuan dan gangguan rantaian bekalan,” katanya.
-- BERNAMA
