Krisis Asia Barat Peringatan Kepada ASEAN Perkukuh Keselamatan Tenaga - Onn Hafiz

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei (kanan) pada sesi sembang santai semasa Forum Strategik JS-SEZ 2026. Kredit : UOB
20/04/2026 08:22 PM

JOHOR BAHRU, 20 April (Bernama) -- Krisis di Asia Barat menjadi peringatan kepada negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia, mengenai keperluan memperkukuh dan mempelbagaikan keselamatan tenaga serta kerjasama dalam perdagangan dan rantaian bekalan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kesan krisis tenaga dan pergolakan geopolitik dijangka menjadi lebih serius.

“Perang ini berkemungkinan akan memburukkan lagi gangguan serta peralihan pantas yang menjadi ciri utama era kita,” katanya dalam ucapan pada Forum Strategik Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) 2026 di sini pada Isnin.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) menyaksikan pertukaran Surat Hasrat antara Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor Natazha Hariss (dua, kiri) dan Pengerusi Kumpulan JT Automation, Wu Si Yuan (dua, kanan) pada Program Forum Strategik UOB JS-SEZ 2026. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UOB Malaysia Ng Wei Wei (kiri) dan Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad (kanan). Kredit : UOB

Sehubungan itu, beliau berkata ASEAN perlu memperkukuh kerjasama demi kepentingan bersama, bukan sahaja untuk terus bertahan dan berkembang, malah bagi menangani cabaran wujud seperti perubahan iklim dan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).

Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri sedang memantau rapat situasi semasa dan akan berusaha melindungi kepentingan rakyat Johor susulan krisis tenaga global serta ketidaktentuan geopolitik, termasuk tekanan inflasi.

“Kerajaan negeri Johor juga telah dan akan terus berinteraksi dengan pihak industri mengenai kesan serta cabaran yang mereka hadapi.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UOB Malaysia Ng Wei Wei (kiri) dan Ketua Kumpulan Saluran dan Pendigitalan serta Komunikasi Strategik dan Jenama UOB Janet Young (kanan) melancarkan Program UOB My Digital Space (MDS) pada Forum Strategik UOB JS-SEZ 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen lebih luasnya terhadap pembangunan komuniti dan bakat. Kredit : UOB

“Sekiranya terdapat apa-apa yang boleh kami bantu, pintu dan telinga kami sentiasa terbuka untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata Johor berhasrat untuk menjadi destinasi selamat bagi pelaburan, perniagaan, idea dan perbincangan berkaitan situasi semasa, selain memperkukuh kerjasama menerusi JS-SEZ.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri bersama Singapura akan terus menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor utama seperti pembuatan termaju, ekonomi digital, tenaga hijau dan logistik pintar.

Johor terus giat mempromosikan JS-SEZ di peringkat antarabangsa, yang baru-baru ini turut menarik minat pemain industri di Shanghai, China.

“Ia merupakan sesi yang sangat produktif dengan lebih 150 pemilik perniagaan dan pembuat keputusan peringkat tertinggi (C-level) mengambil bahagian, dengan 36 daripadanya menyatakan komitmen atau minat kukuh untuk melabur di Johor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


NFMK SYAZW AHA RAM