Sultan Nazrin Gesa ASEAN Terima Pakai Konsep ‘Planetary Health’ Sebagai Tonggak Formal Keselamatan
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menggesa Forum Putrajaya ke-8 untuk menerima pakai konsep "planetary health" sebagai tonggak formal rangka kerja keselamatan komprehensif ASEAN, dengan menegaskan ia adalah realiti strategik dan bukannya tentang kesedaran alam sekitar.
Baginda bertitah sesebuah rantau yang tidak berupaya menghasilkan makanan dan minuman sendiri yang mencukupi tanpa bergantung kepada sumber luar atau melindungi pesisir pantainya daripada kenaikan paras laut tidak boleh dianggap selamat dalam apa jua erti kata, walaupun memiliki kecanggihan teknologi ketenteraan.
"Perlindungan alam sekitar bukanlah agenda yang boleh ditangguhkan sehingga keadaan kembali senggang. Ia adalah asas yang menyokong setiap aspek keselamatan planet dan manusia," titah Baginda dalam ucaptama di Forum Putrajaya ke-8 2026, di sini, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah bahawa ASEAN sedang berdepan dengan pelbagai cabaran keselamatan termasuk pertikaian wilayah dan maritim, kemiskinan tegar, permusuhan etnik dan gerakan pemisah, gejala rasuah, penyalahgunaan hak asasi manusia, pengedaran dadah, pendatang haram dan penyeludupan.
"Setiap satu daripada cabaran ini boleh ditangani melalui penggunaan teknologi secara wajar. Namun, jika digunakan dengan cuai atau demi kepentingan sendiri, teknologi sebaliknya boleh memburukkan lagi keadaan," titah Sultan Nazrin.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah walaupun persaingan memacu inovasi, namun kerjasama adalah suatu yang penting kepada ASEAN kerana keselamatan mutlak terletak pada kerjasama dan bukannya dilakukan secara berasingan.
"Kecerdasan tanpa etika adalah berbahaya. Keupayaan tanpa akauntabiliti adalah melulu. Kemajuan tanpa kesaksamaan tidak membawa kepada kemampanan," titah Baginda.
Sultan Nazrin bertitah keselamatan bukan sekadar tiada ancaman tetapi perlu ada kepercayaan, daya tahan dan matlamat bersama, kerana kekuatan ASEAN sentiasa terletak pada keupayaannya untuk mengharungi kerumitan melalui dialog, kerjasama dan saling menghormati.
Menyentuh tentang cabaran getir ekonomi ketika ini, Baginda bertitah penutupan Selat Hormuz telah menjejaskan keselamatan ekonomi setiap negara ASEAN apabila lonjakan harga tenaga, baja dan pengangkutan telah menyebabkan peningkatan harga makanan, kos pengeluaran dan juga inflasi.
"Krisis ekonomi sedang melanda. Mata pencarian akan terus terjejas selama berbulan-bulan walaupun Selat itu akan dibuka semula dalam jangka masa terdekat.
"Justeru, rundingan untuk menamatkan konflik Asia Barat perlu dimuktamadkan dengan segera," titah Sultan Nazrin.
Forum Putrajaya 2026 merupakan sebahagian daripada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara Asia (NATSEC Asia) 2026 yang bermula semalam dan akan berlangsung sehingga Khamis dengan bertemakan “ASEAN Security at the Edge of Emerging Technologies”.
-- BERNAMA
