ASEAN Sasar FTA Serantau Bersama EU, Perkukuh Perdagangan Dan Pelaburan

Datuk Seri Erywan Yusof
28/04/2026 08:49 PM

Daripada Fadzli Ramli

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April (Bernama) -- ASEAN menyasarkan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang lebih menyeluruh dengan Kesatuan Eropah (EU) bagi memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara dua blok ekonomi utama dunia.

Menteri Luar Kedua Brunei Datuk Seri Erywan Yusof berkata rangka asas bagi FTA berkenaan telah pun wujud menerusi kerjasama sedia ada serta pelbagai perjanjian dua hala antara kedua-dua pihak.

“Fokus kini perlu diberikan kepada usaha memperkukuh asas sedia ada bagi memajukan agenda perdagangan yang lebih beraspirasi tinggi. Ini sejajar dengan persetujuan sebulat suara negara anggota untuk meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Wakil Tinggi Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Kaja Kallas, selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-EU ke-25 (AEMM) di sini, hari ini.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan bersama oleh Erywan dan Kallas.

Mengulas kerjasama ekonomi yang lebih luas, Erywan berkata ASEAN dan EU kini memberi tumpuan kepada pengembangan ekonomi digital serta peralihan tenaga hijau. Beliau turut menyambut baik sokongan EU terhadap inisiatif ASEAN Power Grid, yang disifatkan penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga serantau.

Dalam aspek keselamatan, kedua-dua blok turut mempergiat kerjasama bagi menangani ancaman keselamatan siber serta jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Keselamatan rakyat dan kepercayaan terhadap institusi kerajaan perlu terus dipelihara melalui kerjasama yang lebih erat dalam bidang ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa teras hubungan ASEAN-EU adalah rakyat, justeru pengukuhan pertukaran, mobiliti serta kerjasama praktikal dalam kalangan pelajar, penyelidik, perniagaan dan profesional amat penting bagi merapatkan hubungan kedua-dua rantau pada masa hadapan.

-- BERNAMA