Malaysia Sokong Usaha ASEAN Perkukuh Keterjaminan Tenaga Serantau - Fadillah
KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Malaysia menyokong usaha ASEAN untuk memperkukuh keterjaminan tenaga serantau susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan bekalan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN yang diadakan secara dalam talian hari ini, dengan fokus terhadap implikasi situasi semasa di Asia Barat ke atas kestabilan tenaga di rantau ini.
“Malaysia menyokong penuh usaha ASEAN untuk memperkukuh mekanisme sedia ada, memperluas perkongsian kepakaran serta menyelaras langkah tindak balas dalam menghadapi sebarang gangguan akibat ketidaktentuan geopolitik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia turut berkongsi beberapa langkah bersasar yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.
Antara langkah-langkah tersebut ialah rasionalisasi subsidi, pengenalan waktu bekerja fleksibel serta penggalakan amalan penjimatan tenaga dalam kalangan pengguna, katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara negara anggota ASEAN dalam memperkukuh keterjaminan tenaga serantau melalui aspirasi Grid Tenaga ASEAN (APG) yang dipersetujui bersama tahun lepas.
“Setiap usaha di peringkat nasional perlu selari dengan visi serantau bagi memastikan tindak balas lebih berkesan terhadap sebarang cabaran bekalan tenaga, dengan kerjasama erat dan bersepadu antara negara anggota menjadi kunci kepada ketahanan tenaga ASEAN,” katanya.
-- BERNAMA
