Fort Cornwallis, Bukit Bendera Terima Pengiktirafan ASEAN Dan Asia Tourism Records

Pengarah Urusan ASEAN Records dan Asia Records Gillian Ooi (kanan) dan Pengerusi Eksekutif Eldrick Koh (kiri) menyampaikan anugerah kepada Pengurus Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Korporat Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang Shahril Nizam Cheah Abdullah (dua, kanan) dan Pengurusan Bahagian Pemasaran dan Khidmat Pelanggan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang Ng Kim Theng (dua, kiri) yang diiktiraf sebagai Rizab Biofera Bukit Bendera sebagai stesen bukit kolonial tertua yang terletak dalam Rizab Biofera UNESCO. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wong Hon Wai (tiga, kiri). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
27/04/2026 06:11 PM

GEORGE TOWN, 27 April (Bernama) -- Dua mercu tanda ikonik Pulau Pinang Fort Cornwallis dan Rizab Biosfera Bukit Bendera, menerima pengiktirafan di bawah ASEAN dan ASIA Tourism Records pada 9th ASEAN Records Gather of Achievers dan 3rd ASIA Records Gather of Achievers hari ini.

Pengarah ASEAN Records dan ASIA Records Gillian Ooi berkata Fort Cornwallis diiktiraf sebagai kubu lama berbentuk bintang empat bucu tertua yang masih utuh, dibina oleh Syarikat Hindia Timur British di Semenanjung Tanah Melayu.

Beliau berkata pembinaan kubu itu bermula pada 1786 meliputi kawasan seluas kira-kira 38,800 meter persegi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wong Hon Wai (lapan, kiri) bergambar dengan penerima-penerima ASEAN Rekod pada Perhimpunan Pencapaian Rekod ASEAN ke-9 dan Perhimpunan Pencapaian Rekod ASIA ke-3. Turut hadir Pengarah Urusan Asean Records dan Asia Records Gillian Ooi (kanan) dan Pengarah Eksekutif ASEAN Records dan Asia Recrods Eldrick Koh (kiri). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Rizab Biosfera Bukit Bendera pula mencipta sejarah sebagai stesen tanah tinggi kolonial tertua dalam sebuah Rizab Biosfera UNESCO, sekali gus menerima pensijilan berganda di peringkat ASEAN dan Asia.

“Ditubuhkan pada 1788, Rizab Biosfera Bukit Bendera kemudiannya diiktiraf di bawah Program Man and the Biosphere (MAB) UNESCO pada 2021, menjadikan tempoh 233 tahun antara penubuhannya dengan pengiktirafan antarabangsa.

“Pengiktirafan hanyalah permulaan, hubungan adalah impak sebenar. Setiap Perhimpunan Pencapai diwujudkan dengan tujuan jelas, bukan sekadar menyampaikan sijil, tetapi untuk menghimpunkan pencapai agar saling memberi inspirasi dan berkembang melangkaui pengiktirafan individu,” katanya kepada Bernama selepas majlis berkenaan di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wong Hon Wai berucap pada Perhimpunan Pencapaian Rekod ASEAN ke-9 dan Perhimpunan Pencapaian Rekod ASIA ke-3. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai. Hadir sama beberapa pemimpin negeri serta Ketua Bersama Pengadil ASEAN Records dan ASIA Records Eldrick Koh.

Ooi berkata ASEAN Records dan ASIA Records secara sistematik mengiktiraf destinasi pelancongan dan makanan paling signifikan di Malaysia menerusi pensijilan rekod yang disahkan serta boleh diukur.

Beliau berkata kerangka itu membolehkan platform berkenaan mendokumentasi, mengesahkan dan mempromosikan destinasi pelancongan serta makanan di seluruh rantau ini, dengan menonjolkan bukan sahaja popularitinya, malah kepentingannya yang dapat diukur dan direkodkan.

Pengarah Urusan ASEAN Records dan Asia Records Gillian Ooi. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Pensijilan ini memberi destinasi dan jenama satu pengiktirafan kukuh di peringkat antarabangsa untuk menceritakan kisah mereka kepada pengunjung, media dan dunia,” katanya.

Inisiatif itu sebelum ini diadakan di Melaka, apabila Zon Warisan Jonker Walk menerima pensijilan rasmi di bawah gelaran ‘Kompleks Deretan Rumah Kedai Praperang Tertua dan Terpadat yang Beroperasi Secara Berterusan Sejak sekitar 1700’, berdasarkan lebih 1,000 unit rumah kedai praperang meliputi keluasan 332,310.32 meter persegi.

Sejak penubuhannya pada November 2024, Ooi berkata ASEAN Records telah menganjurkan sembilan acara Gather of Achievers dalam tempoh 17 bulan, termasuk sambutan bersempena Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, festival durian serta aktiviti awam di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pada majlis sama, tujuh lagi pencapaian merentasi pelbagai sektor termasuk seni kulinari, pembuatan, teknologi dan pemasaran digital turut menerima pengiktirafan.

Antara penerima ialah Prof Master Chef Michael Ooi Beng Hock, Creative Bliss, Elexer Holding Bhd, H&H Health Care Group (LE AURA), Kota Dine & Coffee, Newpages dan Sintak Kee Foods.

Acara itu turut menyaksikan kemunculan sulung maskot Wira dan Manja, iaitu maskot rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Pulau Pinang, melambangkan peranan negeri itu dalam menyokong kempen pelancongan negara.

Inisiatif ASEAN Records dan ASIA Records untuk memperluas pengiktirafan sektor pelancongan dan makanan dijangka diteruskan ke seluruh negara sepanjang tahun ini sebagai sokongan kepada TMM2026.

Sementara itu, Wong menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai detik membanggakan buat negeri itu, yang pada masa sama menonjolkan Pulau Pinang sebagai contoh global dalam integrasi harmoni antara pemuliharaan ekologi dan warisan budaya.

“Dua pengiktirafan ini saling melengkapi dalam mencerminkan kekayaan serta kepelbagaian identiti Pulau Pinang, selain mewakili aset budaya dan semula jadi amat bernilai yang terus mengangkat kedudukan Pulau Pinang di pentas serantau dan global,” katanya.

-- BERNAMA