Sidang Kemuncak ASEAN: Anwar Gesa Tingkat Keselamatan Makanan, Daya Tahan Tenaga
Daripada Niam Seet Wei & Linda Khoo
CEBU (Filipina) 9 Mei (Bernama) -- Penglibatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Kemuncak ASEAN selama dua hari di sini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memajukan tindak balas serantau yang diselaraskan bagi mengadapi krisis Asia Barat.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan yang berakhir pada Jumaat, didominasi oleh perbincangan mengenai daya tahan tenaga serantau, keselamatan makanan dan keselamatan warga ASEAN.
Pemimpin dari 11 negara anggota membincangkan usaha bersama untuk menangani kekurangan bekalan dan meredakan tekanan kos yang meningkat termasuk makanan, baja dan pengangkutan.
Semasa sesi pleno sidang kemuncak pada Jumaat, Anwar mencadangkan agar menteri ASEAN yang berkaitan segera meneroka penubuhan mekanisme persediaan serantau bagi keselamatan makanan semasa krisis, bagi membolehkan penyelarasan lebih pantas dan usaha tindak balas kecemasan.
“Jika gangguan berterusan, ASEAN berdepan risiko hasil yang lebih rendah dan inflasi makanan yang berterusan hingga tahun depan.
“Oleh itu keselamatan makanan mesti dianggap sebagai keutamaan strategik serantau,” katanya.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk mengukuhkan mekanisme Rizab Beras Kecemasan ASEAN Plus Three (APTERR) dan bekerjasama dengan rakan kongsinya untuk mengembangkan kerjasama melangkaui rizab dengan memasukkan keterjaminan baja.
Mengenai daya tahan tenaga serantau, seperti pelaksanaan Rangka Kerja ASEAN mengenai Perjanjian Keselamatan Petroleum (APSA), Anwar berkata Malaysia menyokong penuh mempercepat inisiatif itu, kerana ia menyediakan lapisan perlindungan yang penting apabila pengeluaran minyak dan gas domestik merosot di seluruh rantau ini.
Perdana Menteri menekankan bahawa Grid Kuasa ASEAN kekal sebagai pusat kepada peralihan tenaga dan keselamatan jangka panjang blok itu.
Tanpa mengabaikan keselamatan warga ASEAN di tengah-tengah krisis Asia Barat, Anwar menggesa negara anggota untuk mengukuhkan perkongsian maklumat, kerjasama konsular dan mekanisme tindak balas kecemasan.
Semasa Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Anwar menekankan Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama serantau menerusi inisiatif yang merapatkan jurang pembangunan serta meluaskan perdagangan, pelaburan dan keselamatan makanan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam mesyuarat dua halanya, Anwar dan rakan serantau berikrar untuk mengukuhkan lagi kerjasama strategik dalam bidang kepentingan bersama, termasuk memperluas kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, serta meningkatkan kesalinghubungan rakyat dengan rakyat.
Keselamatan wilayah, pembangunan sempadan, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan dan aktiviti penipuan pekerjaan, juga antara isu utama yang dibincangkan oleh para pemimpin.
Semasa jadualnya yang padat di sini, Anwar menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-48, Sidang Kemuncak BIMP-EAGA serta mengadakan lima pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Kemboja, Laos, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.
Filipina mengambil alih kepengerusian ASEAN daripada Malaysia pada 1 Jan 2026, di bawah tema “Melayari Masa Depan Kita, Bersama”, dipandu oleh tiga tonggak iaitu Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran dan Pemerkasaan Rakyat.
-- BERNAMA
