Pemimpin ASEAN Ikrar Keselamatan Dan Kestabilan Di Perairan Serantau Selaras UNCLOS
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pemimpin ASEAN pada Jumaat mengesahkan semula komitmen mereka untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di perairan serantau selaras dengan undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Dalam Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Kerjasama Maritim yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 yang baru berakhir di Cebu, Filipina, para pemimpin menekankan bahawa UNCLOS kekal sebagai rangka kerja undang-undang yang mengawal semua aktiviti di lautan dan laut.
Mereka menegaskan kepentingan penyelesaian pertikaian secara aman tanpa menggunakan ancaman atau kekerasan, sambil mengesahkan semula kebebasan pelayaran dan penerbangan, perdagangan sah tanpa halangan, serta mengekalkan rantaian bekalan tenaga global dan laluan perdagangan maritim yang stabil.
Mereka juga mengakui cabaran maritim yang muncul, termasuk ancaman terhadap infrastruktur kritikal bawah air seperti kabel dasar laut dan saluran paip, pencemaran laut, kehilangan biodiversiti, penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU), serta kesan kenaikan paras laut terhadap komuniti pesisir dan integriti wilayah.
Deklarasi itu menekankan keperluan untuk memperkukuh kerjasama maritim dalam bidang seperti penguatkuasaan undang-undang maritim, ketersambungan pengangkutan maritim, operasi mencari dan menyelamat, perlindungan alam sekitar marin, inisiatif ekonomi biru, tadbir urus lautan, penyelidikan saintifik marin, pemindahan teknologi, perkongsian maklumat dan kesedaran domain maritim.
Pemimpin ASEAN juga bersetuju untuk memajukan kerja Forum Pengawal Pantai ASEAN sebagai platform kerjasama dalam kalangan agensi penguatkuasaan undang-undang maritim untuk menangani cabaran keselamatan maritim, jenayah rentas sempadan dan ancaman merentas sempadan yang lain.
Mengenai Laut China Selatan, para pemimpin mengesahkan semula kepentingan pelaksanaan penuh dan berkesan Deklarasi Mengenai Tatakuasa Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC), sambil mengulangi usaha untuk memuktamadkan rundingan mengenai Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS.
Deklarasi itu juga menyeru kerjasama serantau dan global yang lebih kukuh melibatkan rakan kongsi luar, sektor swasta dan komuniti tempatan bagi menyokong pembangunan ekonomi marin yang mampan serta meningkatkan daya tahan dan mata pencarian komuniti pesisir.
Antara inisiatif yang digariskan adalah sokongan terhadap rancangan penubuhan Pusat Maritim ASEAN di Filipina untuk memperkukuh pemahaman tentang isu maritim, menyokong mekanisme pimpinan ASEAN dan mempromosikan kerjasama rentas sektoral dalam hal ehwal maritim.
-- BERNAMA
