ASEAN Pertimbang Libat Urus Lebih Berkesan, Agresif Dengan Myanmar
Daripada Linda Khoo
CEBU, 8 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin ASEAN sedang mempertimbangkan secara serius libat urus yang lebih “berkesan dan agresif” dengan Myanmar, berpandukan Konsensus Lima Perkara (5PC).
Beliau berkata libat urus awalnya dengan Myanmar semasa penggal kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun lepas dilakukan atas inisiatif sendiri, namun walaupun telah memaklumkan kepada pemimpin ASEAN selepas bertemu Jeneral Kanan Myanmar Min Aung Hlaing di Bangkok, tiada komitmen nyata ketika itu untuk menggerakkan proses berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata buat pertama kalinya, pemimpin ASEAN kini menunjukkan kesediaan untuk mengambil pendekatan yang lebih proaktif terhadap Myanmar, termasuk kemungkinan lawatan oleh menteri luar dan pemimpin serantau lain ke negara itu.
“Ini bukan resolusi muktamad kerana ia akan memakan masa, tetapi sekurang-kurangnya ada kemajuan besar,” katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48, di sini pada Jumaat.
Apabila ditanya sama ada terdapat sebarang tempoh akhir untuk Myanmar menyertai semula mesyuarat ASEAN, Anwar menjawab: “Belum lagi.”
Terdahulu, laporan media menyebut Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow dilaporkan merancang untuk menjemput rakan sejawatnya dari Myanmar ke mesyuarat bersama diplomat tertinggi serantau.
ASEAN telah melarang pemimpin tertinggi Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncaknya sejak tentera menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada Februari 2021, dengan hanya membenarkan wakil bukan politik menghadiri mesyuarat peringkat tinggi.
Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa 5PC perlu diteruskan agar Myanmar lebih dekat semula ke dalam lingkungan ASEAN.
Namun, katanya ini tidak bermakna isu lain termasuk kekejaman Rohingya akan diketepikan.
Berhubung Laut China Selatan, Perdana Menteri berkata Malaysia menegaskan bahawa rundingan perlu diselesaikan dalam kalangan negara ASEAN bersama China tanpa melibatkan campur tangan kuasa luar.
Beliau menegaskan kepentingan untuk memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) yang mengikat undang-undang bagi memastikan keamanan dan kestabilan di perairan itu terus terpelihara.
“Kita juga mengekalkan pandangan supaya COC di antara ASEAN dan negara China dipercepatkan. Setakat ini Kementerian Luar menekankan bahawa ada kemajuan ke arah itu,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata ASEAN perlu terus mengekalkan prinsip berkecuali tanpa memihak kepada mana-mana kuasa besar selain mengekalkan hubungan baik dengan semua negara selaras dengan prinsip Kepusatan ASEAN.
“Kita tegas dalam pendirian kita supaya ASEAN kekal dengan pendirian bebas berkecuali tetapi berprinsip,” katanya.
-- BERNAMA
