ASEAN Sambut Baik Gencatan Senjata AS-Iran, Tekankan Kestabilan Selat Hormuz
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pemimpin ASEAN menyeru agar pemulihan laluan yang selamat dan tanpa gangguan melalui Selat Hormuz dilakukan sambil menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata mereka serta mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan lagi ketegangan di Asia Barat.
Dalam Kenyataan Pemimpin ASEAN mengenai Tindak Balas terhadap Krisis Asia Barat yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 pada Jumaat, blok itu menyambut baik gencatan senjata antara AS dan Iran, yang diusahakan melalui perantaraan Pakistan dengan sokongan pihak-pihak berkepentingan yang lain.
Pemimpin ASEAN menggesa semua pihak yang terlibat untuk mengekalkan keadaan yang kondusif bagi pelaksanaan gencatan senjata yang penuh dan berkesan dengan mengamalkan kekangan tahap tertinggi, menghentikan semua permusuhan dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Para pemimpin menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, di samping menggalakkan dialog serta diplomasi dalam menangani konflik dan ketegangan di Asia Barat.
Blok itu melahirkan kebimbangan mendalam terhadap sebarang langkah diskriminasi atau unilateral yang boleh menghalang atau menyekat kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz atau laluan air antarabangsa yang lain.
Kenyataan itu menyeru agar pemulihan transit laluan kapal dan pesawat yang selamat, tanpa halangan dan berterusan di Selat Hormuz selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, sambil turut menggesa semua pihak untuk memastikan keselamatan pelaut dan kapal.
Pemimpin ASEAN mengakui bahawa konflik di Asia Barat telah menjejaskan aktiviti ekonomi global dan serantau, terutamanya pasaran tenaga serta laluan pengangkutan maritim dan udara.
Mereka menegaskan kepentingan mengekalkan rantaian bekalan tenaga global serta laluan perdagangan maritim yang stabil, terbuka dan boleh dipercayai, di samping memelihara aliran barangan keperluan yang berterusan, termasuk makanan, bahan api dan produk farmaseutikal.
Kumpulan itu juga mengesahkan semula komitmennya untuk mengekalkan laluan laut yang terbuka dan selamat, memastikan kebebasan pelayaran dan meminimumkan gangguan terhadap perdagangan serantau serta rantaian bekalan.
-- BERNAMA
