Pihak Berkuasa Myanmar Tunjuk Perkembangan Positif Selepas Libat Urus - Mohamad
Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
PETALING JAYA, 19 Mei (Bernama) -- Malaysia melihat perkembangan positif dalam pendekatan pihak berkuasa Myanmar susulan siri libat urus bersama ASEAN, dengan Naypyidaw kini dilihat lebih terbuka untuk berbincang serta mencari jalan perdamaian antara pihak-pihak yang bertelagah, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata perubahan itu dapat dilihat semasa pertemuannya dengan Menteri Luar Myanmar Tin Maung Swe di Naypyidaw, Selasa.
“Nampak daripada perbincangan itu walaupun rakan sejawat saya orang baharu tetapi nampak mereka mengendur.
“… mereka menyatakan kesediaan untuk berbincang, kesediaan untuk mereka melihat supaya kesemua puak duduk bersama. Itu satu perkembangan baharu, perkembangan yang positif bagi saya kalau ini dapat dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini, Selasa.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohd Hasrin Tengku Hussin dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia di bawah Kementerian Luar Datuk Zanariah Zainal Abidin.
Terdahulu, Mohamad berlepas ke Naypyidaw pagi tadi bagi menilai situasi semasa di Myanmar susulan sesi pemukiman Ketua-ketua Negara ASEAN di Cebu, Filipina baru-baru ini.
Beliau berkata menteri-menteri luar ASEAN telah ditugaskan untuk mengadakan tinjauan dan libat urus dengan rakan sejawat masing-masing di Myanmar bagi membantu ASEAN merumuskan pendekatan baharu terhadap negara itu.
“Menteri-menteri luar ditugaskan untuk membuat tinjauan dan mengadakan libat urus dengan rakan sejawat di Myanmar bagi membolehkan ASEAN merumuskan pendekatan baharu terhadap negara itu.
“Jadi saya akan buat laporan kepada Kabinet mengenai lawatan singkat saya, pertemuan saya dengan rakan sejawat di Myanmar untuk dapat dirumuskan, dibincangkan dan saya juga akan mengadakan perbincangan secara dalam talian atau sidang video dengan rakan-rakan sejawat daripada negara ASEAN,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk membantu menemukan pihak-pihak yang bertentangan dengan kerajaan Myanmar, namun menegaskan pendekatan itu perlu dilakukan secara berhati-hati tanpa memberi tekanan kepada Naypyidaw.
“Kita perlahan-lahan, kita tidak mahu pula dilihat Malaysia memberikan tekanan kepada mereka. Saya minta mereka supaya mengemukakan cadangan.
“Apakah yang mereka fikirkan sebenarnya dan bagaimana mereka mahu bergerak ke hadapan kerana kita tidak mahu ada salah satu anggota ASEAN ini pincang dan ia menyebabkan ASEAN tidak dapat dilihat sebagai suatu kesatuan yang mementingkan kesejahteraan,” katanya.
Mohamad berkata beliau turut menyampaikan harapan Malaysia dan ASEAN untuk melihat Myanmar mengambil hala tuju baharu termasuk menghentikan permusuhan dan keganasan terhadap rakyat sendiri selaras dengan Konsensus Lima Perkara ASEAN.
Menurut beliau pihak berkuasa Myanmar turut memaklumkan bahawa gencatan senjata telah dilaksanakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara itu tahun lalu.
Malaysia juga meminta supaya gencatan senjata sedia ada yang dijadualkan berakhir pada 30 Julai ini dipanjangkan sekurang-kurangnya enam bulan lagi atau diteruskan secara berterusan, katanya.
“Bahkan saya minta supaya gencatan senjata yang sedia ada ini yang akan berakhir pada 30 Julai, dipanjangkan lagi, diteruskan lagi enam bulan, kalau boleh berterusan,” katanya.
-- BERNAMA
