CJC Perhebat Kerjasama Koperasi Rentas Negara IMT-GT

Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah (tengah) mempengerusikan Rundingan Meja Bulat dan Padanan Perniagaan Sektor Koperasi bersama Majlis Perniagaan Bersama Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT JBC) di Prai, Pulau Pinang. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
20/05/2026 06:49 PM

BUTTERWORTH, 20 Mei (Bernama) -- Penubuhan Jawatankuasa Bersama Koperasi (CJC) berdasarkan kerangka Majlis Perniagaan Bersama Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand  (IMT-GT JBC) akan memperkukuh kerjasama koperasi rentas negara.

Langkah itu terutama dalam usaha merancakkan aktiviti perdagangan dan perniagaan antara koperasi Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Presiden ANGKASA merangkap Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata penubuhan jawatankuasa itu juga merupakan pengiktirafan rasmi terhadap peranan gerakan koperasi dalam pembangunan ekonomi wilayah IMT-GT.

Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah (tengah) mempengerusikan Rundingan Meja Bulat dan Padanan Perniagaan Sektor Koperasi bersama Majlis Perniagaan Bersama Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT JBC) di Prai, Pulau Pinang. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau berkata wilayah ini mempunyai potensi ekonomi yang besar melibatkan kira-kira 88,000 koperasi, lebih 16 juta anggota koperasi individu serta lebih 100 juta jumlah penduduk.

“Ini menunjukkan potensi perniagaan yang sangat besar dengan kekuatan pengguna yang cukup teguh. Koperasi tidak lagi boleh bergerak secara silo atau berprofil rendah, sebaliknya perlu bergerak secara bersama-sama untuk merebut peluang di wilayah ini.

“Menerusi CJC, koperasi Malaysia boleh bekerjasama dengan koperasi Indonesia dan Thailand, begitu juga sebaliknya, dalam pelbagai sektor perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas program Rundingan Meja Bulat dan padanan perniagaan sektor koperasi IMT-GT JBC di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah IMT-GT JBC, Datuk Dr Mahadi Mohamad; Pengerusi IMT-GT JBC Thailand, Natthanon Phongthanyawiriya; dan Pengerusi IMT-GT JBC Indonesia, Sjahrian Harahap. 

Abdul Fattah berkata antara sektor awal yang dikenal pasti untuk digerakkan menerusi kerjasama koperasi rentas negara ialah pelancongan kerana lebih mudah dilaksanakan dan tidak melibatkan keperluan produk fizikal pada peringkat permulaan.

Beliau berkata sektor itu merangkumi pelancongan agro, kesihatan, pendidikan dan alam sekitar, sebelum diperluas kepada perdagangan barangan seperti buah-buahan serta produk koperasi lain.

Beliau berkata penubuhan CJC membolehkan sektor koperasi mempunyai platform rasmi dalam struktur IMT-GT JBC berbanding sebelum ini yang hanya menyertai perbincangan secara tidak tetap.

“Menerusi CJC, koperasi akan mempunyai segmen dan jadual perbincangan tersendiri secara berkala bagi membincangkan peranan, cadangan, cabaran dan penyelesaian bagi memperkukuh penglibatan koperasi dalam perniagaan rentas sempadan,” katanya.

Abdul Fattah berkata antara cabaran utama kerjasama rentas negara ialah perbezaan peraturan, termasuk prosedur kastam, pensijilan kesihatan dan keperluan halal di setiap negara.

Oleh yang demikian, pihaknya berharap proses berkaitan perdagangan produk koperasi di wilayah IMT-GT dapat dipermudah dan diselaraskan supaya koperasi kecil tidak terbeban dengan prosedur yang terlalu rumit.

-- BERNAMA