Rusia, Malaysia Pada Landasan Kukuh Untuk Perluas Hubungan - Putin

18/06/2026 04:09 AM

Daripada Nurul Hanis Izmir

KAZAN, 18 Jun (Bernama) -- Presiden Vladimir Putin berkata Rusia dan Malaysia telah mewujudkan asas kukuh untuk terus memperluas kerjasama dua hala menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun hadapan. 

Berucap semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini pada Rabu, Putin berkata kedua-dua negara kian menghampiri detik bersejarah itu dengan “pengalaman positif yang substantif” dalam hubungan dua hala.

“Tahun hadapan ialah ulang tahun ke-60 jalinan hubungan diplomatik kedua-dua negara. Kita menghampiri tarikh ini dengan pengalaman positif yang substantif dalam hubungan dan kerjasama rasmi, serta telah mewujudkan penyelarasan yang kukuh ke arah memperluas perkongsian pada masa hadapan,” katanya.

Putin berkata Rusia dan Malaysia terus memperkukuh hubungan melalui kementerian, agensi dan parlimen masing-masing, manakala suruhanjaya antara kerajaan mengenai kerjasama ekonomi, saintifik, teknikal dan kebudayaan pula bertanggungjawab melaksanakan projek bersama secara praktikal.

Beliau berkata perdagangan dua hala terus berkembang, menyaksikan jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat 12.9 peratus pada 2025.

“Pada 2025, perdagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 12.9 peratus, satu pencapaian yang baik,” katanya sambil menambah bahawa Rusia turut mengutamakan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, pelancongan serta hubungan kemanusiaan.

Beliau menyambut baik sokongan Malaysia terhadap perkembangan perkongsian strategik antara Rusia dan ASEAN, yang menyaksikan mesyuarat peringkat sidang kemuncak pertama antara Rusia dan ASEAN telah diadakan di Malaysia pada  2005.

“Tahun lepas, negara (Malaysia) telah menjadi Pengerusi ASEAN dan kami mengalu-alukan peranan Malaysia, yang terus mengekalkan serta menyokong perkembangan perkongsian strategik yang pertama antara Rusia dan ASEAN,” katanya.

Putin turut menyifatkan Malaysia sebagai rakan lama dan rakan global kepada Rusia, serta kerjasama antara kedua-dua negara kekal konsisten berlandaskan prinsip saling menghormati, dan mengambil kira kepentingan masing-masing.

Merujuk kepada pertemuan terdahulu dengan pemimpin Malaysia, Putin mengimbau kembali pertemuannya dengan Anwar di Malaysia serta menyampaikan sembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. 

“Mohon zahirkan sembah takzim kepada Seri Paduka Baginda,” katanya.

-- BERNAMA