Pulau Mutiara Saksi Kejayaan HAWANA 2026, Perkukuh Kompas Integriti Media Negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) ketika merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena. Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (kiri), Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua, kanan) dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai (kanan).
22/06/2026 10:16 AM

Oleh R.Ratcharathan

BUTTERWORTH, 22 Jun (Bernama) -- Tirai sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 akhirnya dilabuhkan dengan gemilang di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, menandakan berakhirnya satu lagi episod penting dalam perjalanan industri media negara.

Selama tiga hari, Pulau Pinang menjadi tumpuan hampir 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara termasuk delegasi ASEAN seperti Indonesia, Kemboja dan Timor-Leste yang berhimpun bagi meraikan profesion kewartawanan serta memperkukuh jaringan kerjasama serantau.

Bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu lepas, menjadi simbol penghargaan negara terhadap peranan penting wartawan dalam membina masyarakat yang berinformasi dan bertanggungjawab.

Pada majlis tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA sebagai sokongan berterusan terhadap kebajikan pengamal media yang memerlukan selain kesinambungan Dana Inovasi Media bagi membantu organisasi media tempatan melaksanakan pengukuhan operasi transformasi digital industri berkenaan.

Beliau juga menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Penerbit Eksekutif Media Prima Berhad Noraini @ Talhah Mat Tahir, wartawan Makkal Osai Guanalan Sengalaney dan bekas wartawan sambilan akhbar Kwong Wah Yit Poh Ch’ng Lay Wah.

Lebih manis, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pula mengumumkan Telekom Malaysia (TM) sebagai rakan strategik baharu Tabung Kasih@HAWANA dengan menyumbang sebanyak RM500,000 bagi memastikan kelangsungan bantuan kebajikan kepada pengamal dan bekas pengamal media di negara ini.

Sejak diperkenalkan pada 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memberi manfaat kepada 773 pengamal media di seluruh negara dengan jumlah bantuan mencecah RM2.26 juta.

Hadir sama meriahkan majlis Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Fahmi, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.

Dalam aspek pengiktirafan profesional, HAWANA 2026 menyaksikan bekas Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman menerima Anugerah HAWANA 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau kepada dunia penyiaran dan kewartawanan negara.

Namun, antara detik paling menyentuh perasaan sepanjang majlis kemuncak ialah pengumuman bekas Ketua Bernama Radio Allahyarham Azlan Idris sebagai penerima Anugerah Khas HAWANA 2026.

Suasana dewan bertukar hiba apabila anugerah tersebut disampaikan Perdana Menteri kepada isterinya, Wan Syahrina Wan Abdul Rahman yang juga Pengurus Saluran dan Kandungan Bernama TV, yang dilihat sebak ketika menerima anugerah khas dengan berlatarbelakangkan paparan visual Allahyarham di skrin utama.

Azlan, 57, yang meninggal dunia pada 15 Jan lepas, antara tonggak utama kecemerlangan Bernama Radio sejak penubuhannya pada 2007 serta pernah mencurah bakti dalam industri penyiaran tanah air di TV3, NTV7 dan Channel 9, selain memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran empat edisi sambutan HAWANA.

Majlis kemuncak turut meraikan kecemerlangan seni warisan apabila pasukan pemantun TV3 mempertahankan gelaran juara Pesta Pantun HAWANA-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2026, manakala Bernama muncul naib juara dalam pertandingan yang menjadi antara program pembuka tirai sambutan tahun ini.

HAWANA 2026 turut menyerlahkan dimensi kerjasama media serantau menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Bernama dan agensi berita Timor-Leste, Agência Noticiosa de Timor-Leste (TATOLI) bagi mengeratkan kerjasama media antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu.

Pertukaran MOU yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Presiden TATOLI Noémio Mateus Soares Falcão bagi pihak agensi masing-masing itu disempurnakan Fahmi  dan Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes, serta disaksikan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Di luar program rasmi, Karnival RIUH Pi HAWANA turut diadakan selama tiga hari bermula 19 Jun di tapak parkir Pusat Konvensyen PICCA juga melabuhkan tirai malam tadi selepas menampilkan persembahan artis tempatan seperti Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Budak Nakal Hujung Simpang, dan Chelsea Ng.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi menerusi platform RIUH di bawah MyCreative Ventures itu menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman, di samping menawarkan pelbagai bengkel interaktif kepada pengunjung.

HAWANA 2026 turut membuka ruang kepada pelbagai organisasi media dan badan berkaitan industri kewartawanan menganjurkan program yang memperkukuh profesionalisme serta membincangkan cabaran semasa industri seperti Permukiman Media Malaysia 2.0 anjuran Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM). 

Selain itu, turut berlangsung sesi Dialog Menteri Komunikasi Bersama Media yang juga menampilkan Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) baharu dilantik Tan Sri Nallini Pathmanathan, dialog awam  anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) bertajuk 2035: Will Journalists Still Exist? dan Majlis Makan Malam MMM yang menyantuni lebih 50 pengamal media di wilayah utara.

Bagi Pulau Pinang pula, HAWANA 2026 membawa makna lebih besar daripada sekadar status tuan rumah setelah berjaya menampilkan kekuatan infrastruktur, sistem logistik dan kemampuan penganjuran yang memenuhi keperluan acara bertaraf nasional selain memberikan nilai tambah signifikan kepada sektor pelancongan serta ekonomi kreatif negeri.

Sehari sebelum majlis kemuncak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib turut meraikan pengamal media dari seluruh negara dan rantau ASEAN pada majlis makan malam sempena HAWANA 2026, sebagai tanda penghargaan terhadap peranan penting media dalam pembangunan negara.

Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena HAWANA 2026 bersama Yang Dipertua Negeri itu menghimpunkan hampir 350 hadirin termasuk pengamal media, ketua pengarang, pengurusan tertinggi organisasi media tempatan dan antarabangsa, wartawan veteran serta pemimpin kerajaan negeri.

Lebih membanggakan, HAWANA 2026 sekali lagi membuktikan keupayaan Bernama sebagai agensi berita nasional dan pelaksana utama sambutan apabila berjaya mengendalikan keseluruhan acara berskala besar menggunakan kepakaran dalaman, termasuk melaksanakan siaran langsung pertama televisyen dalam sejarah penganjuran HAWANA.

Sebelum kemuncak sambutan, pelbagai program pengisian turut diadakan termasuk Forum Media HAWANA 2026 pada 7 Mei, Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2026 pada 4 Jun, serta acara Fun Walk HAWANA 2026 pada 14 Jun yang berjaya menarik penyertaan menggalakkan daripada pengamal media dan orang awam.

Dianjurkan Kementerian Komunikasi menerusi Bernama selaku agensi pelaksana, HAWANA menjadi platform utama untuk menghargai dedikasi, profesionalisme dan peranan pengamal media sebagai penyampai maklumat yang tepat, sahih, serta berwibawa kepada masyarakat.

-- BERNAMA