Malaysia Syor Pelaksanaan Diplomasi Sains Dan Dana Jerebu Mampan Tangani Jerebu Rentas Sempadan

10/07/2026 02:32 PM

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia mencadangkan pelaksanaan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan bagi memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan cadangan berkenaan diusulkan menterinya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat ke-27 Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Subrantau mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (MSC) di Bali, Indonesia semalam. 

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Lingkungan Hidup Indonesia Mohammad Jumhur Hidayat selaku negara tuan rumah manakala Malaysia berperanan sebagai Timbalan Pengerusi mesyuarat tersebut.

Mesyuarat ke-27 MSC itu turut dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Pegawai Kanan dari negara rantau ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN sebagai urus setia mesyuarat.

“Mesyuarat bersetuju untuk meneroka dan menilai kebolehlaksanaan Diplomasi Sains dalam kerangka AATHP melalui mekanisme sedia ada atau penubuhan platform baharu yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu. 

NRES memaklumkan semua negara MSC telah menzahirkan komitmen bagi pelaksanaan AATHP secara berkesan dan mengalu-alukan usaha berterusan dan persediaan Indonesia bagi penubuhan dan pengoperasian Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC).

“Mesyuarat mengalu-alukan perkembangan Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Lestari Bebas Jerebu ASEAN (AIF-HFSLM) sebagai pelengkap kepada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu ASEAN Kedua 2023 – 2030 dan Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN Kedua (APMS) 2023–2030.

“Mesyuarat turut menggalakkan kerjasama dengan Rakan Dialog ASEAN bagi menyokong pengurusan hutan, tanah gambut dan pertanian lestari ke arah merealisasikan ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.

Melalui mesyuarat itu, NRES memaklumkan yang Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) telah membentangkan tinjauan cuaca dan jerebu di Selatan rantau ASEAN.

“Terdapat peningkatan jumlah titik panas (hotspots) sebanyak 86 peratus bagi separuh tahun pertama 2026 berbanding tempoh sama pada 2025, susulan keadaan cuaca yang lebih panas dan kering pada bulan Januari, Mac dan April 2026,” maklum kementerian itu.

“ASMC turut menjangkakan fenomena El Niño akan berterusan sepanjang separuh kedua 2026 dan menjadi lebih kuat mulai Ogos hingga September 2026 serta berpotensi menyebabkan cuaca kering yang berpanjangan.

“Kebanyakan kawasan di Selatan rantau ASEAN dijangka menerima taburan hujan di bawah paras normal dalam beberapa bulan akan datang yang boleh meningkatkan titik panas dan risiko jerebu merentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan mesyuarat ke-27 MSC mengiktiraf usaha berterusan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam memperkukuh keupayaan operasi Southeast Asia Fire Danger Rating System (SEA FDRS).

MET Malaysia turut membentangkan perkembangan terkini SEA FDRS dengan pemasangan tiga Automated Auxiliary Weather Stations (AAWS) di kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.

Selain itu, model kualiti udara, Malaysian Community Multiscale Air Quality Model (MyCMAQ) telah dilancarkan pada Mac 2026 bagi meramal kualiti udara dan meliputi pencemaran jerebu di Malaysia serta rantau Asia Tenggara.

“Berdasarkan unjuran ASMC dan MET Malaysia mengenai fenomena El Niño serta keadaan cuaca yang lebih panas dan kering, mesyuarat ke-27 MSC menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh usaha pencegahan.

“Ia termasuk kesiapsiagaan, pemadaman dan tindak balas secara bersepadu bersama semua pihak berkepentingan selaras dengan Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu ASEAN Kedua 2023–2030 dan Prosedur Operasi Standard untuk Pemantauan, Penilaian dan Tindak Balas Kecemasan Bersama (SOP MAJER),” menurut kenyataan itu

Mesyuarat juga bersetuju untuk meneliti kebolehlaksanaan bagi memperkukuh ASEAN Haze Fund dengan memperkembangkan sumber sumbangan dan skop penggunaannya bagi menyokong penyelidikan saintifik dan inisiatif Diplomasi Sains dengan tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.

Mesyuarat ke-21 Jawatankuasa dan Persidangan Pihak-Pihak ke AATHP dijadualkan berlangsung di Da Nang, Vietnam pada Oktober ini manakala Malaysia akan menjadi Pengerusi dan Tuan Rumah bagi mesyuarat ke-28 MSC yang bakal diadakan pada Jun 2027 di Kota Kinabalu, Sabah.

Selain itu, NRES memaklumkan Arthur dan rakan sejawatnya daripada Indonesia berkesempatan mengadakan perbincangan dua hala dan kedua-dua negara telah mencadangkan beberapa bidang kerjasama yang boleh diteroka dalam sektor alam sekitar dan perubahan iklim.

“Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama dan akan meneruskan usaha pemantauan dan pencegahan pencemaran jerebu merentas sempadan di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA