Malaysia Pamer Warisan Kulinari Di Finland

Kredit: Kedutaan Malaysia di Helsinki, Finland
10/07/2026 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Mee goreng, teh tarik dan kuih ketayap menjadi tumpuan di Helsinki, Finland apabila Malaysia memamerkan warisan kulinarinya yang kaya pada acara "ASEAN Noodles in the Garden" pada Khamis.

Dianjurkan oleh Jawatankuasa ASEAN Helsinki (AHC) dan diadakan di kediaman Duta Besar Thailand, acara itu menghimpunkan ahli komuniti diplomatik di Finland untuk meraikan warisan kulinari yang kaya serta kepelbagaian budaya ASEAN yang bertenaga.

Kedutaan Malaysia di Helsinki berkata pemilihan hidangan Malaysia mencerminkan identiti pelbagai budaya negara itu menerusi pengaruh kulinari daripada komuniti Melayu, Cina, India dan peribumi.

Kredit: Kedutaan Malaysia di Helsinki, Finland

Para tetamu juga berpeluang merasai keunikan rasa dan tradisi yang telah menjadikan masakan Malaysia sebagai antara tawaran gastronomi paling terkenal di Asia Tenggara.

“Penyertaan Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha diplomasi awam berterusan pihak Kedutaan untuk mempromosikan budaya Malaysia, memperkukuh hubungan sesama insan, serta meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap Malaysia dalam kalangan komuniti diplomatik dan rakan ASEAN di Finland,” menurut kedutaan dalam satu kenyataan.

Acara itu juga berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan kempen Melawat Malaysia 2026, dengan mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama yang terkenal dengan layanan mesra, kepelbagaian budaya, pulau dan pantai yang menakjubkan, hutan hujan purba, bandar yang bertenaga, serta masakan bertaraf dunia.

Kredit: Kedutaan Malaysia di Helsinki, Finland

“Melalui bahasa makanan yang universal, pihak Kedutaan menjemput para tetamu untuk menerokai pengalaman unik yang menanti para pengunjung ke Malaysia,” katanya.

AHC terdiri daripada Kedutaan Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam.

Jawatankuasa berkenaan berusaha untuk meningkatkan keterlihatan ASEAN di Finland, memperkukuh libat urus dengan pihak berkepentingan Finland, serta mempromosikan kerjasama yang lebih erat dan persefahaman bersama melalui inisiatif budaya, ekonomi dan diplomasi awam.

-- BERNAMA