Filipina: ASEAN Perlu Tangani Cabaran, Kekal Fokus Pada Keutamaan Jangka Panjang

11/07/2026 05:25 PM

Oleh Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Filipina menyatakan ASEAN perlu menangani cabaran yang dihadapi dan menjejaskan rakyatnya di tengah-tengah ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan global yang semakin memuncak, tanpa mengabaikan keutamaan jangka panjang yang akan membentuk masa depan rantau ini.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro berkata Filipina, selaku Pengerusi ASEAN semasa, melaksanakan peranannya dengan hala tuju yang jelas dan tumpuan strategik, yang memerlukan yang memerlukan kedua-dua aspek iaitu responsif dan kesinambungan. 

"ASEAN mesti berupaya menangani segera cabaran yang dihadapi dan menjejaskan rakyat kita, di samping terus memajukan keutamaan jangka panjang yang mencorakkan masa depan rantau ini. Inilah yang kami sasarkan dan terus lakukan sebagai Pengerusi,” katanya dalam temu bual bertulis dengan Bernama.

Bagi Filipina, beliau berkata memastikan ASEAN kekal fokus secara strategik bermakna memastikan setiap tindak balas terhadap sesuatu krisis akan memperkukuh ketahanan kolektif kumpulan serantau itu, memperkasa Kepusatan ASEAN, serta menyampaikan faedah praktikal kepada rakyatnya. 

Merujuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan yang berlangsung pada Mei sebagai contoh, beliau berkata para pemimpin memberi tumpuan kepada implikasi konflik berterusan di Asia Barat, termasuk gangguan terhadap laluan pengangkutan maritim dan udara, ancaman kepada bekalan tenaga dan makanan, tekanan ekonomi yang semakin meningkat serta keselamatan rakyat ASEAN.

Menurutnya, perbincangan tertumpu kepada tiga keutamaan mendesak, iaitu memastikan keselamatan dan daya tahan tenaga serantau, menstabilkan jaminan bekalan makanan serta melindungi rakyat ASEAN.

"Perbincangan ini mengesahkan semula kepentingan Kepusatan ASEAN, solidariti dan kerjasama praktikal dalam menangani kejutan luaran," katanya sambil menambah ASEAN turut menekankan penggunaan dan pengembangan mekanisme serta rangka kerja sedia ada yang pelan tindakannya lazimnya melangkaui tempoh satu penggal kepengerusian.

Pada masa sama, beliau berkata ASEAN tidak mengabaikan keutamaan utama kepengerusian Filipina Pengerusi, iaitu Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran, dan Pemerkasaan Rakyat  - dengan 13 keutamaan strategik di bawah Kerangka Kerja LEAD, SAIL, RISE ASEAN. 

"Usaha ASEAN diteruskan di semua peringkat dan merentasi semua tonggak, daripada kerjasama politik dan keselamatan, integrasi ekonomi serta kesalinghubungan, hinggalah kepada perlindungan sosial, daya tahan iklim dan pembangunan yang berteraskan rakyat," katanya.

Ketika kepimpinan serantau beralih dari Kuala Lumpur ke Manila, Lazaro berkata Filipina melihat kepengerusian ASEAN sebagai satu kesinambungan, dengan setiap pengerusi meneruskan usaha pendahulunya sambil menyumbang kepada keutamaan bersama dan wawasan jangka panjang blok itu.

Beliau berkata Filipina akan meneruskan tumpuan ASEAN terhadap keterangkuman dan kemampanan, di samping memulakan pelaksanaan ASEAN 2045: Our Shared Future, iaitu pelan hala tuju blok serantau itu bagi tempoh dua dekad akan datang, serta meneruskan usaha pembinaan Komuniti ASEAN, termasuk menyokong integrasi Timor-Leste ke dalam blok itu.

Beliau berkata Filipina berhasrat menterjemahkan tema kepengerusiannya, "Navigating Our Future, Together", kepada kerjasama yang praktikal dan berteraskan rakyat ketika ketidaktentuan geopolitik semakin meningkat serta munculnya pelbagai cabaran baharu di peringkat serantau.

"Tema ini bukan sekadar frasa yang menarik perhatian, sebaliknya merupakan satu amanah yang mesti kita laksanakan demi rakyat," katanya.

-- BERNAMA