KPN Lancar Buku Catatan Pengalaman PDRM Dalam 13 Misi Pengaman PBB

Lans Koperal Noor Amirah Muhammad Puad menunjukkan buku Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diluncurkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail di sini hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
27/07/2026 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Buku ‘Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Polis Diraja Malaysia (PDRM)’ yang dilancarkan hari ini harus dijadikan sebagai masterclass PDRM dalam pengurusan krisis dan kepimpinan strategik, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khaled Ismail.

Beliau berkata ini kerana buku itu bukan sahaja merekodkan evolusi dosktrin kepolisan Malaysia malah turut memetakan setiap titisan keringat, air mata, dan keberanian warga PDRM di persada misi antarabangsa sekali gus sebagai manifestasi naratif kemanusiaan yang mendalam pasukan pengaman Malaysia. 

"Ia menceritakan evolusi doktrin kepolisan kita daripada sebuah pasukan yang kental menangani ancaman domestik, sehingga diiktiraf sebagai entiti global yang disegani di bawah panji biru PBB (Pertubuhan Bangs-Bangsa Bersatu)," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran buku itu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail (dua, kiri) menyempurnakan Majlis Peluncuran Buku Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (kiri) dan Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Profesor Dr Abdul Latiff Abu Bakar (dua, kanan). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Dalam pada itu Mohd Khaled berkata buku berkenaan juga menekankan kepimpinan sebenar yang teruji di lapangan dalam persekitaran yang sarat dengan ketidakpastian, perubahan drastik, dan kekangan sumber yang meruncing di zon konflik.

"Melalui catatan sejarah dalam 13 misi global yang diketengahkan, pembaca disajikan dengan pelan tindakan praktikal tentang bagaimana kerjasama rentas budaya dan pembuatan keputusan berimpak tinggi dilaksanakan. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail (tengah) meluncurkan Buku Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (kiri) dan Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Profesor Dr Abdul Latiff Abu Bakar (kanan). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Pengalaman yang digarap dalam setiap bab membuktikan bahawa “Acuan Kepolisian Watan” Malaysia amat berkesan untuk diadaptasikan di mana-mana jua, sekali gus membuktikan piawaian dan reputasi kita diiktiraf dunia," katanya.

Beliau berkata penglibatan PDRM dalam misi pengaman PBB tidak boleh hanya dilihat dari sudut keselamatan fizikal semata-mata tetapi perlu juga dari aspek nilai insan seperti hak untuk hidup dengan maruah dan harapan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. 

Mohd Khaled juga mengucapkan tahniah kepada barisan penulis dan rakan strategik seperti Penerbit UPM, Yayasan Generasi Malaysia, dan Yayasan Pembangunan Buku Negara atas kejayaan menghasilkan buku setebal 500 muka surat itu.

Katanya, kerjasama antara institusi keselamatan, dunia akademik dan yayasan masyarakat wajar dijadikan contoh dalam memperkaya khazanah ilmu negara.

Sempena majlis berkenaan, PDRM juga menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records sebagai Pengerahan anggota pasukan polis negara terbesar ke sebuah negara tuan rumah sepanjang keseluruhan siri misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA