Jepun Ikrar Kerjasama Dengan ASEAN, China, Korea Selatan Isu Tenaga, Penipuan Dalam Talian

Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi menyampaikan ucapan pada hari Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi menyampaikan ucapan dasar beliau di parlimen, di Tokyo, Jepun, 20 Februari 2026. REUTERS/Kim Kyung-Hoon
27/07/2026 06:47 PM

MANILA, 23 Julai (Bernama-Kyodo) -- Jepun pada Khamis berikrar untuk meningkatkan kerjasama dalam aspek keselamatan tenaga dan usaha membanteras penipuan dalam talian dalam mesyuarat menteri-menteri luar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), China dan Korea Selatan, lapor Agensi Berita Kyodo.

Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi menggariskan sumbangan Jepun dalam bidang berkenaan ketika menghadiri mesyuarat bersama rakan sejawatnya dari ASEAN dan Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun.

China diwakili oleh Timbalan Menteri Luar Hua Chunying yang menghadiri mesyuarat itu bagi pihak Menteri Luar Wang Yi.

"Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan negara ASEAN Campur Tiga kini merangkumi lebih daripada satu perempat ekonomi global, menjadikan kumpulan ini semakin penting dalam menggalakkan kestabilan dan kemakmuran serantau serta global," kata Motegi dalam ucapan pembukaan.

Beliau berkata Jepun menyokong pemusatan, perpaduan ASEAN serta Pandangan ASEAN Mengenai Indo-Pasifik (AOIP), iaitu inisiatif yang diterima pakai ASEAN bagi mengekalkan keamanan, kebebasan dan kemakmuran di rantau ini.

Motegi berkata visi Jepun mengenai visi Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka berkongsi prinsip utama dengan AOIP dan Tokyo akan menyelaras usaha bersama China serta Korea Selatan bagi memajukan inisiatif itu menerusi kerjasama ASEAN Campur Tiga.

Peserta turut menekankan keperluan memperkukuh rangkaian bekalan tenaga di rantau ini sebagai tindak balas terhadap perkembangan situasi di Asia Barat, menurut Kementerian Luar Jepun.

Kerangka ASEAN Campur Tiga ditubuhkan susulan krisis kewangan Asia 1997 bagi menggalakkan kerjasama praktikal dalam kalangan negara anggotanya.

Pemimpin kumpulan itu kali terakhir bertemu dalam sidang kemuncak di Malaysia pada Oktober lalu.

Motegi kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Luar Britain yang baharu dilantik, Ed Miliband dan menyatakan harapan agar Tokyo dan London terus bekerjasama menangani cabaran global di bawah kerajaan baharu Perdana Menteri Andy Burnham.

-- BERNAMA-KYODO