SPRM Terajui Kursus Pulih Aset Antirasuah ASEAN

Datuk Seri Abd Halim Aman
29/07/2026 10:35 PM

MELAKA, 29 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berkongsi kepakaran negara dalam pemulihan aset hasil jenayah termasuk pengalaman mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi program latihan khas bagi memperkukuh kerjasama membanteras rasuah di peringkat serantau.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata kursus khas itu, yang disaran diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), akan memfokus kepada aspek pemulihan aset khususnya melibatkan kes bagi aset yang perlu dikembalikan ke negara asal.

Beliau berkata saranan itu dikemukakan pada Seminar On Intergrity In Major Infrastructure Projects anjuran SPRM dengan kerjasama Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang menghimpunkan pakar serta pegawai antirasuah daripada beberapa bidang kuasa termasuk Malaysia, Singapura dan Hong Kong.

"Kami akan menjadi pemangkin kepada pembangunan satu modul berkaitan pemulihan aset bagi kes-kes yang melibatkan aset perlu dibawa balik ke negara masing-masing. 

"Ini berdasarkan Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan hasil pengalaman mengendalikan proses pemulihan aset berkaitan kes 1MDB," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar itu bersempena dengan Mesyuarat Sekretariat ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) di sini hari ini.

Abd Halim berkata pengalaman dan kepakaran Malaysia itu akan dikongsikan kepada negara-negara lain khususnya ASEAN supaya mereka mempelajari selok-belok dan cara mengatasi jika berdepan kes sedemikian. 

"Cadangan ini menerima maklum balas yang baik daripada negara-negara peserta, dan MACA dijangka menganjurkan kursus berkenaan pada tahun ini," katanya. 

Beliau juga berkata seminar itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kolaborasi antara negara anggota ASEAN-PAC dengan Hong Kong dalam mempertingkat kerjasama memerangi rasuah.

"Banyak perkara yang dibincangkan, dan cadangan kolobrasi yang akan dilakukan di antara negara-negara ASEAN-PAC bukan sekadar penyelesaian masalah tetapi juga bagi memudahkan cara serta merapatkan kerjasama tersebut. 

"Kita bersepakat melakukannya melalui perundingan, perutusan dan seminar yang akan diadakan bagi mencapai matlamat untuk menyelesaikan rasuah di semua bidang kuasa," katanya. 

-- BERNAMA