Hanoi Sambut Ulang Tahun Ke-59 ASEAN Dengan Upacara Menaikkan Bendera

31/07/2026 07:10 PM

HANOI, 31 Julai (Bernama-VNA) -- Upacara menaikkan bendera ASEAN berlangsung di Hanoi pada Jumaat sempena ulang tahun ke-59 blok itu dan ulang tahun ke-31 penyertaan Vietnam dalam ASEAN, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Acara itu dihadiri duta dan kuasa usaha negara anggota ASEAN serta negara rakan, selain pegawai Perhimpunan Kebangsaan, agensi kerajaan dan Jawatankuasa Rakyat Hanoi.

Dalam ucapannya, Menteri Luar Vietnam Le Hoai Trung menyifatkan bendera ASEAN sebagai lambang identiti bersama, perpaduan dan aspirasi yang dikongsi bersama. Beliau berkata acara tahun ini lebih bermakna kerana berlangsung serentak dengan ulang tahun ke-81 Revolusi Ogos Vietnam (19 Ogos 1945-2026), sekali gus memperkukuh nilai berkekalan seperti kemerdekaan, berdikari, perpaduan dan kerjasama.

Beliau berkata ASEAN telah berkembang daripada satu keputusan bersejarah untuk menggantikan perpecahan dengan dialog dan konfrontasi dengan kerjasama kepada sebuah komuniti yang aman, maju dan makmur bersama, dengan ekonomi bernilai US$3.9 trilion serta hampir 700 juta penduduk. ASEAN kini muncul sebagai pasaran tunggal yang dinamik, didorong oleh integrasi, inovasi, kesalinghubungan dan daya saing.

Berdepan dunia yang semakin dicengkam persaingan dan ketidaktentuan, ASEAN sedang memasuki era baharu yang memerlukan usaha kolektif yang lebih kukuh di bawah pengerusi Filipina serta tema "Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama", kata Trung sambil menambah bahawa ASEAN telah mencapai kemajuan pada tahun pertama pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 menerusi tiga tonggaknya, iaitu keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta pemerkasaan rakyat.

Sempena 31 tahun penyertaan Vietnam dalam ASEAN, Trung menegaskan bahawa blok itu bukan sahaja keutamaan strategik dan tonggak utama dasar luar Vietnam, malah merupakan rumah bersama dan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada integrasi global negara itu.

Beliau berkata ASEAN yang kukuh akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada Vietnam, manakala Vietnam yang kukuh pula akan menyumbang dengan lebih bermakna kepada Komuniti ASEAN.

Menurutnya, Vietnam akan terus berkembang bersama ASEAN serta menyumbang kepada visi bersama untuk membentuk Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berteraskan rakyat.

Pada kesempatan itu, Trung menyeru negara anggota supaya terus memupuk perkongsian, menerima inovasi dan bekerjasama bagi memastikan ASEAN kekal sebagai tunjang keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini serta dunia.

-- BERNAMA-VNA