Kepusatan ASEAN Penting Hadapi Cabaran Geopolitik Semakin Kompleks - Jurucakap

Penolong Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina Dominic Xavier Imperial - Kredit: Nur Atiq Maisarah Suhaimi
31/07/2026 11:54 AM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

MANILA, 31 Julai (Bernama) -- Kepusatan ASEAN semakin penting dalam memastikan blok serantau itu mampu mengharungi landskap geopolitik yang semakin kompleks serta menangani cabaran baharu, kata Penolong Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina Dominic Xavier Imperial.

Imperial, yang juga jurucakap Filipina bagi Kepengerusian ASEAN 2026, berkata Kepusatan ASEAN kekal sebagai tunjang hubungan blok itu dengan rakan dialog, sekali gus membolehkannya terus menetapkan agenda dan menerajui usaha serantau menerusi tindakan bersama.

“Apabila kita bercakap mengenai Kepusatan ASEAN, ia bermaksud menggembleng usaha bersama semua negara anggota kerana hanya dengan bertindak secara kolektif kita dapat menangani cabaran ini, sama ada perubahan landskap geopolitik yang memberi kesan kepada rantau ini mahupun ancaman baharu yang menjejaskan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Bernama pada sidang media khas sempena Forum Media ASEAN Ke-10 di Kompleks Malacanang di sini pada Khamis.

Forum dua hari itu menghimpunkan para wartawan, pengurusan kanan organisasi media dan pembuat dasar dari kesemua 11 negara anggota ASEAN bagi bertukar-tukar pandangan, memperkukuh kerjasama serta meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai blok serantau itu.

Mengulas lanjut, Imperial berkata ASEAN terus berpandukan prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang menjadi asas kepada hubungannya dengan rakan dialog.

“Prinsip-prinsip ini akan sentiasa menjadi pedoman ASEAN dalam berurusan dengan rakan dialognya,” katanya.

Beliau berkata ASEAN terus menentukan hala tuju dan menerajui perbincangan dengan rakan dialog, dengan memberi tumpuan kepada manfaat bersama bagi blok serantau itu dan negara rakan.

“Apabila ASEAN mengadakan perbincangan dengan rakan dialognya, ASEAN akan menentukan agenda dan menerajui perbincangan bagi memastikan manfaat bersama kepada rantau ini serta rakan dialognya secara keseluruhan,” kata beliau. 

Imperial menjelaskan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro juga secara konsisten menekankan kepentingan Kepusatan ASEAN dalam kenyataan serta pertemuannya dengan menteri luar negara anggota lain.

Filipina memegang Kepengerusian ASEAN 2026 dengan tema “Navigating Our Future, Together”.

-- BERNAMA