ASEAN, Jepun Sepakat Perkukuh Daya Tahan Rantaian Bekalan Susulan Risiko Global
MANILA, 20 Sept (Bernama-PNA) -- ASEAN dan Jepun memperkukuh kerjasama dalam daya tahan rantaian bekalan, keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi serantau di tengah-tengah peningkatan ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran tenaga global, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Perkara itu dibincangkan pada Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN-Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun ke-32 di Pasay City pada Ahad, yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Perdagangan Filipina Ma. Cristina Roque dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Akazawa Ryosei.
Mesyuarat mengambil maklum bahawa peningkatan ketegangan geopolitik, ketidaktentuan berkaitan perdagangan dan konflik serantau terus menjejaskan kestabilan serta kebolehramalan persekitaran ekonomi antarabangsa, sekali gus menimbulkan cabaran kepada perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Mesyuarat turut mengambil maklum peningkatan ketidaktentuan pasaran tenaga global, termasuk risiko terhadap laluan utama bekalan tenaga di Asia Barat dan selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa serta kemungkinan kesannya terhadap rantaian bekalan global.
Sehubungan itu, menteri-menteri ASEAN dan Jepun menekankan keperluan memperkukuh kerjasama dalam daya tahan rantaian bekalan, keselamatan tenaga, kestabilan serantau dan daya tahan global.
Perkongsian Jepun mengenai Daya Tahan Tenaga dan Sumber Secara Meluas serta usaha merealisasikan Komuniti Sifar Pelepasan Asia 2.0 turut dibincangkan.
Jepun mencadangkan kerjasama dalam sektor utama termasuk semikonduktor, mineral kritikal, biobahan api dan ekonomi kitaran bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serantau.
Mesyuarat turut mengalu-alukan kemajuan dalam pelaksanaan Reka Bentuk Masa Depan dan Pelan Tindakan Penciptaan Bersama Ekonomi ASEAN-Jepun yang Inovatif dan Mampan 2023-2033, yang menjadi rangka kerja jangka panjang bagi memajukan hubungan ekonomi.
Pelan itu memberi tumpuan kepada kesalinghubungan siber-fizikal, inovasi terbuka, pembangunan modal insan dan kemampanan.
Mengenai perdagangan, para menteri menegaskan semula kepentingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (AJCEP) sebagai asas hubungan ekonomi ASEAN-Jepun serta mengalu-alukan usaha meningkatkan penggunaannya, termasuk penyempurnaan pemindahan peraturan khusus produk ke dalam Sistem Berharmoni 2022.
Mereka turut mengalu-alukan kemajuan ke arah kemungkinan menaik taraf AJCEP serta permulaan kajian kebolehlaksanaan bersama oleh Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur, termasuk langkah yang berpotensi untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.
Mesyuarat mengambil maklum bahawa perdagangan barangan dua hala antara ASEAN dan Jepun mencecah US$245.4 bilion pada 2025, manakala pelaburan langsung asing (FDI) Jepun ke ASEAN berjumlah US$9.5 bilion pada tahun sama.
Angka itu meletakkan Jepun dalam kalangan lima rakan dagang terbesar ASEAN serta lima sumber FDI terbesar ASEAN pada 2025.
-- BERNAMA-PNA
