ASEAN, Hong Kong Tandatangani Protokol Perkukuh Hubungan Pelaburan
MANILA, 20 Sept (Bernama-PNA) -- ASEAN dan Hong Kong menandatangani satu protokol pada Ahad bagi meminda perjanjian pelaburan kedua-dua pihak untuk menambah baik peraturan pelaburan serta memudahkan peningkatan aliran pelaburan dua hala, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Pemeteraian Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Pelaburan ASEAN-Hong Kong, China (HKC) (AHKIA) merupakan antara hasil Konsultasi Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN-Hong Kong, China ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina di Pasay City.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Perdagangan Filipina Ma. Cristina Roque dan Timbalan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong Bernard Chan.
Mesyuarat memaklumkan protokol itu akan meningkatkan kebolehramalan dan kepastian rejim pelaburan bagi pelabur ASEAN dan HKC serta menyumbang kepada persekitaran yang lebih kondusif dan stabil untuk pelaburan dua hala.
Mesyuarat turut menggesa pihak terlibat supaya terus menyelesaikan isu tertunggak di bawah Program Kerja AHKIA, sambil menyatakan bahawa penyelesaian kerja berkenaan akan terus memperkukuh rangka kerja pelaburan, keyakinan pelabur dan peluang pelaburan.
Menurut statistik awal ASEAN, perdagangan barangan dua hala antara ASEAN dan Hong Kong mencecah US$154.5 bilion pada 2025, manakala pelaburan langsung asing (FDI) Hong Kong ke ASEAN berjumlah US$16.5 bilion.
Angka itu meletakkan Hong Kong sebagai rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dan sumber FDI keempat terbesar pada 2025.
ASEAN sebagai sebuah blok merupakan rakan dagang barangan kedua terbesar Hong Kong pada tahun sama, manakala stok FDI ASEAN di Hong Kong berjumlah US$57.8 bilion pada akhir 2024.
Mesyuarat turut menggesa supaya Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Hong Kong, China (AHKFTA) berkuat kuasa seawal mungkin bagi memberikan manfaat tambahan kepada pedagang dan perniagaan.
Mesyuarat menggesa pihak yang masih belum berbuat demikian supaya mempercepat penyampaian notifikasi bertulis mengenai pelaksanaan protokol pindaan AHKFTA.
ASEAN dan Hong Kong turut membincangkan usaha memperkukuh integrasi rantaian bekalan di tengah-tengah ketegangan geopolitik, konflik serantau dan ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Mesyuarat turut membangkitkan kebimbangan mengenai gangguan rantaian bekalan minyak dan gas yang meningkatkan kos perniagaan serta menambah tekanan inflasi, khususnya terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Mesyuarat mengambil maklum minat HKC untuk menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), sambil menyatakan penyertaannya boleh menyumbang kepada integrasi ekonomi serantau yang lebih kukuh.
Mesyuarat menggalakkan Jawatankuasa Bersama RCEP supaya memajukan proses penyertaan bagi pemohon termasuk Hong Kong.
ASEAN dan Hong Kong turut membincangkan kerjasama antara Tetingkap Tunggal ASEAN dan Tetingkap Tunggal Perdagangan HKC, termasuk projek perintis bagi pertukaran Sijil Tempasal elektronik.
-- BERNAMA-PNA
