BTA2026 Rekod 1,470 Spesies Biodiversiti, Raih Pengiktirafan ASEAN Dan Asia
GERIK, 21 Ogos (Bernama) -- Kejayaan mengenal pasti 1,470 spesies biodiversiti di Pulau Banding menerusi Banding Trail Adventure 2026 (BTA2026) melayakkan program itu menerima pengiktirafan ASEAN dan ASIA Records bagi kategori “Jumlah Spesies Tertinggi Direkodkan Merentasi Tiga Domain Biologi dalam Satu Program Ekspedisi Denai”.
Pencapaian itu merupakan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding 519 spesies yang direkodkan menerusi BTA2025 yang ketika itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Spesies Biodiversiti Terbanyak Dikenal Pasti dalam Satu Program”.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata program berkenaan selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 yang memberikan penekanan kepada pemuliharaan biodiversiti, penggunaan sumber secara lestari, perkongsian manfaat yang adil serta pengukuhan penyelidikan dan pembangunan ilmu pengetahuan.
“Saya menyambut baik inisiatif penganjuran Banding Trail Adventure (BTA2026) yang mempunyai nilai strategik dalam membantu negara memperkukuh pengetahuan dan pangkalan data berkaitan kekayaan biodiversiti Malaysia.
“BTA2026 menggabungkan penyelidikan saintifik, dokumentasi biodiversiti dan penglibatan langsung sukarelawan yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), institusi pengajian tinggi, sektor korporat serta komuniti tempatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pengiktirafan ASEAN & ASIA Records Banding BTA2026, hari ini.
Selain itu, Arthur berkata pengaplikasian teknologi moden seperti penderiaan jauh, GIS, LiDAR, dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pelengkap berharga kepada kepakaran lapangan dalam mengukuhkan pemantauan serta pembuatan keputusan berasaskan fakta saintifik.
Beliau berkata setiap dapatan spesies yang berjaya dikenal pasti dan didokumentasikan sepanjang program itu menyokong secara langsung perancangan negara.
“Hal ini memperkasakan Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) sebagai Clearing House Mechanism (CHM) di bawah Convention on Biological Diversity (CBD), sekali gus menjadi repositori utama negara dalam mencapai Sasaran 2, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030.
“Usaha murni melalui BTA 2026 turut selaras dengan kerangka Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework dalam memastikan sasaran melindungi sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan daratan dan perairan pedalaman menjelang 2030 dapat dicapai,” katanya.
Arthur berkata sebagai sokongan khusus kepada kawasan ini, Kerajaan Persekutuan melalui Natural Conservation Trust Funds for Natural Resources (NCTF) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Yayasan Pulau Banding bagi projek penyelidikan “Assessing Wildlife Population Health and Prey-Predator Dynamics Through Salt Lick Usage In Temengor Reserve Forest” untuk tempoh 2026 hingga 2027.
Dalam pada itu, lebih 50 pakar, penyelidik dan sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, NGO serta sektor korporat terlibat dalam ekspedisi berkenaan.
BTA2026 dianjurkan oleh Yayasan Pulau Banding bersama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), UMK Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe), Belum Rainforest Resort dan Yayasan EMKAY dengan sokongan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Setia Haruman serta Kumpulan EMKAY.
-- BERNAMA
