Ahmad Zahid Nasihat Penunggang Malaysia Patuhi Undang-Undang Negara Tuan Rumah
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Penggemar sukan permotoran Malaysia yang mengadakan kembara ke luar negara perlu mematuhi undang-undang dan peraturan negara tuan rumah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata sikap saling menghormati, bertolak ansur dan memahami peraturan, khususnya melibatkan negara jiran penting bagi memastikan hubungan baik sesama anggota ASEAN terus terpelihara.
“Pada hemat saya, di mana-mana negara pun kita harus mengikuti peraturan yang ditentukan oleh negara berkenaan. Kita harap semua saling menghormati dan bukan kita mahu melanggar undang-undang.
“Terlalu banyak toleransi yang boleh kita lakukan sebagai negara anggota ASEAN,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Amal Konvoi Charity Ride Kontinjen Negeri Sembilan bersama Ipoh Super Bike Club (ISBC) sempena sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK) di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas insiden sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia yang ditahan dan disaman polis trafik di Hat Yai, Thailand baru-baru ini dan tular video di media sosial mendakwa pihak berkuasa “membuli” kumpulan penunggang berkenaan.
Bagaimanapun, polis Thailand menafikan dakwaan itu dan memaklumkan kompaun dikenakan kerana pelanggaran peraturan jalan raya, termasuk penggunaan lampu berkelip serta ekzos yang menghasilkan bunyi melebihi had desibel.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata isu kenderaan berpendaftaran asing yang dikesan melanggar undang-undang jalan raya ketika memasuki Malaysia turut diberi perhatian.
Beliau berkata sebarang permasalahan berkaitan perkara itu boleh dibincangkan dan dirungkai menerusi platform Mesyuarat Konsultasi Tahunan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin negara ASEAN.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menghargai inisiatif Program Amal Konvoi Charity Ride yang berjaya mengumpulkan RM102,000 hasil sokongan 53 syarikat untuk disalurkan kepada 120 keluarga warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 12 rumah kebajikan di sepanjang laluan konvoi.
Beliau turut menyatakan hasrat menyertai program kembara motosikal secara besar-besaran bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-70 dan Hari Polis ke-220 tahun depan, dengan menyarankan penyertaan sekurang-kurangnya 220 penunggang.
-- BERNAMA
