Jerebu Di Selatan ASEAN Mungkin Bertambah Buruk Akibat Cuaca Kering Berpanjangan - ASMC

KUALA LUMPUR, 26 Ogos -- Pemandangan di Menara Berkembar Petronas kelihatan kabur berikutan jarak penglihatan terjejas akibat jerebu yang melanda hari ini. Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu Cheras (159) dan Batu Muda (152). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
26/08/2026 03:58 PM

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 26 Ogos (Bernama) -- Titik panas dan jerebu di beberapa kawasan di selatan ASEAN mungkin bertambah buruk dalam beberapa hari akan datang berikutan cuaca kering yang berpanjangan, sekali gus meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan, menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC).

Dalam laporan harian terbaharunya, ASMC berkata kelompok titik panas dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan serta Sumatera tengah dan selatan, manakala hanya beberapa titik panas direkodkan di kawasan lain di rantau itu.

“Kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan, serta di bahagian tengah dan selatan Sumatera.

“Beberapa stesen kualiti udara di Kalimantan Barat dan Selatan, barat Sarawak, barat Semenanjung Malaysia serta Sumatera tengah dan selatan merekodkan bacaan 'tidak sihat' hingga 'sangat tidak sihat' ,” menurut laporan itu pada Rabu.

ASMC berkata angin di selatan ASEAN dijangka bertiup dari arah tenggara hingga barat daya.

Sementara itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura berkata kualiti udara negara itu kekal pada paras sederhana, dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencatatkan bacaan antara 59 hingga 78 setakat 2 petang Rabu.

Kawasan tengah merekodkan bacaan tertinggi.

-- BERNAMA