Pemeteraian Dua MOU ASEAN Perluas Pasaran Produk Malaysia, Pacu Pertanian Pintar Iklim

kredit: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
27/08/2026 06:32 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia berpeluang memperluas pasaran produk agromakanan, agrikomoditi dan perhutanan serta memperoleh teknologi pertanian pintar iklim menerusi dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai di bawah ASEAN.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan MoU berkenaan turut memperkukuh rantaian bekalan makanan serantau dalam menghadapi ancaman banjir, kemarau serta perosak dan penyakit rentas sempadan.

Kedua-dua MoU itu ditandatangani Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bagi pihak kerajaan Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF), semalam.

“MoU pertama iaitu ASEAN Cooperation in Agriculture and Forest Products Scheme dimeterai bersama negara anggota ASEAN dengan memberikan tumpuan kepada lima bidang utama.

“Lima bidang itu ialah pengukuhan keterjaminan makanan serantau, pemudahcaraan perdagangan produk pertanian dan perhutanan, penggalakan pelaburan swasta, pemuliharaan sumber asli secara mampan serta penyelarasan pendirian ASEAN dalam menangani isu antarabangsa,” menurut KPKM dalam kenyataan hari ini.

KPKM memaklumkan bagi MoU itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan bertindak selaku peneraju bagi komoditi sawit dan koko, manakala KPKM selaku peneraju produk agromakanan negara.

Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan membolehkan negara anggota melaksanakan kempen strategik secara bersama-sama bagi mempertahankan kedudukan minyak sawit dan produk agromakanan tempatan dalam pasaran global serta membuka akses pasaran lebih luas bagi tanaman industri, produk ternakan, herba, ubat-ubatan dan hasil hutan termasuk cendawan, kekacang serta madu hutan.

Selain itu, KPKM memaklumkan penyelarasan piawaian kualiti menerusi pensijilan pertanian dijangka meningkatkan daya saing pekebun kecil serta perusahaan kecil dan sederhana.

“MoU kedua antara ASEAN dengan China pula merangkumi 18 bidang kerjasama bagi tempoh lima tahun untuk mempromosikan pertanian mampan, meningkatkan daya saing produk serta memperkukuh keterjaminan makanan serantau.

“MoU itu menggariskan 18 bidang kerjasama utama antaranya pembangunan hijau menerusi pertanian pintar iklim berasaskan pelepasan karbon rendah, pengurusan hutan secara lestari, pengukuhan ketahanan rantaian bekalan melalui pengurusan risiko bencana (banjir dan kemarau) serta insurans pertanian, kawalan perosak dan penyakit merentasi sempadan,  di samping kerjasama penyelidikan dan perkongsian maklumat perdagangan,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan kerjasama ASEAN-China pula membuka ruang untuk pemindahan teknologi pintar iklim, penyelarasan dasar dan kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan China serta memacu transformasi sektor agromakanan tempatan ke arah amalan berkarbon rendah dan pengurusan sumber yang lestari demi kelangsungan jangka panjang. 

-- BERNAMA