Parlimen Perlu Main Peranan Lebih Besar Dalam Isu Global - Speaker Dewan Rakyat

Kredit foto: Parliamen Malaysia
28/08/2026 05:48 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 28 Ogos (Bernama) -- Parlimen perlu memainkan peranan lebih besar bersama-sama kerajaan dalam menangani konflik, ketegangan geopolitik dan cabaran global yang lain, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul pada Jumaat.

Beliau berkata Persidangan Yang di-Pertua Parlimen menyediakan platform bagi badan perundangan menangani isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat dan komuniti, khususnya apabila ketegangan geopolitik dan cabaran berkaitan iklim menjejaskan kehidupan mereka.

“Perkara penting di sini ialah isu keamanan, solidariti, undang-undang antarabangsa dan konflik tidak seharusnya diserahkan kepada pihak eksekutif semata-mata. Badan perundangan juga perlu terlibat bagi melengkapkan usaha pihak eksekutif,” katanya kepada Bernama.

Johari kini menghadiri Persidangan Yang di-Pertua Parlimen Kedua (ISC-2), yang dianjurkan secara bersama oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat Kemboja dari 26 hingga 28 Ogos dengan tema “Solidariti demi Keamanan dan Kemakmuran Bersama: Memperkukuh Undang-Undang Antarabangsa dan Menyelesaikan Konflik secara Aman.”

Beliau berkata kerjasama lebih erat antara cabang eksekutif dan perundangan akan memastikan kebimbangan rakyat jelata ditangani secara menyeluruh.

“Kadangkala, badan perundangan mempunyai pemahaman yang lebih luas mengenai situasi semasa, manakala pihak eksekutif mungkin melihatnya dari perspektif politik. Gabungan kedua-dua entiti ini amat penting untuk menjadikan dunia tempat yang lebih selamat,” katanya.

Dalam ucapannya semasa sesi perbahasan umum di ISC-2 pada Khamis, Johari berkata konflik semakin rumit, perpecahan geopolitik kian mendalam dan institusi yang ditubuhkan untuk memelihara keamanan serta keselamatan antarabangsa sedang diuji.

Beliau berkata kesan konflik terhadap manusia melangkaui sekadar angka statistik, melibatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal, kanak-kanak yang terlepas peluang pendidikan, serta komuniti yang berpecah-belah akibat keganasan.

Dalam konteks ini, Johari berkata diplomasi parlimen mampu mengekalkan saluran dialog walaupun hubungan antara kerajaan menjadi tegang.

“Penglibatan parlimen membolehkan kita meneruskan perbincangan walaupun hubungan rasmi menghadapi kesukaran.

“Ia mewujudkan ruang untuk dialog merentasi jurang politik dan sempadan negara, membina kepercayaan antara institusi, serta mengingatkan kita bahawa perbezaan pendapat tidak semestinya menjurus kepada konfrontasi,” katanya.

Johari berkata Malaysia percaya keamanan yang berkekalan mesti berlandaskan penghormatan terhadap kedaulatan, integriti wilayah, undang-undang antarabangsa dan penyelesaian pertikaian secara aman.

Prinsip-prinsip itu katanya amat relevan bagi Asia Tenggara, memandangkan ASEAN diasaskan atas semangat dialog, perundingan dan kepercayaan bahawa keamanan serantau perlu dipupuk secara berterusan.

“Apabila timbul perbezaan pendapat antara negara-negara di rantau kita, ASEAN perlu terus menyediakan platform bagi penglibatan yang membina dan dialog secara aman.

“Parlimen kita, melalui peranan masing-masing, boleh melengkapkan usaha ini dengan memperkukuh persefahaman antara rakyat serta menggalakkan penyelesaian yang berlandaskan undang-undang antarabangsa, saling menghormati dan kestabilan serantau,” katanya.

Indonesia bakal menjadi tuan rumah bagi ISC ketiga tahun hadapan selepas Pakistan menganjurkan persidangan itu buat kali pertama tahun lepas.

-- BERNAMA