Singapura, Thailand Bangunkan Agenda Pelbagai Tahun Bagi Visi Komuniti ASEAN 2045

Kredit: PMO Singapore
02/09/2026 07:32 PM

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 2 Sept (Bernama) -- Singapura dan Thailand akan bekerjasama rapat untuk membangunkan agenda pelbagai tahun ke arah memajukan Visi Komuniti ASEAN 2045, menurut Kementerian Luar Singapura (MFA).

Komitmen itu dibuat oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dan rakan sejawatnya dari Thailand Anutin Charnvirakul semasa Pemukiman Pemimpin Singapura-Thailand di Bangkok pada Rabu.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin bersetuju Singapura dan Thailand perlu bekerjasama rapat semasa masing-masing menjadi Pengerusi ASEAN pada 2027 dan 2028 untuk memajukan keutamaan ASEAN, memperkukuh integrasi serantau, memperdalam kerjasama dengan rakan luar serta membuka peluang baharu untuk rantau ini.

"Kedua-dua pemimpin menegaskan semula komitmen mereka untuk menggalakkan seni bina serantau berteraskan ASEAN yang terbuka, berasaskan peraturan dan inklusif.

"Pada masa sama, mereka menekankan bahawa hubungan yang stabil dan konstruktif antara kuasa-kuasa besar amat penting bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran di rantau ini," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan bersama itu, Thailand dan Singapura akan menyelaras secara rapat untuk memajukan integrasi, kesalinghubungan dan daya tahan serantau, selain memperkukuh kerjasama serta rangkaian ASEAN dengan rakan luarnya.

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa usaha itu akan mengekalkan kepusatan ASEAN dan memastikan ASEAN terus relevan dalam dunia yang berubah dengan pantas, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut menegaskan semula kerjasama pertahanan dan ekonomi yang terjalin sejak sekian lama serta bersetuju meneroka bidang kerjasama baharu dalam ekonomi hijau dan digital, kecerdasan buatan (AI), daya tahan tenaga, kesalinghubungan, keselamatan makanan serta usaha memerangi jenayah rentas negara.

"Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperkukuh hubungan erat antara rakyat dan kerjasama dalam pembangunan sosial termasuk menerusi Program Pertukaran Perkhidmatan Awam Singapura-Thailand (CSEP) dan Hubungan Ekonomi Dipertingkat Singapura-Thailand (STEER)," menurut MFA.

Semasa pemukiman itu, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman bagi memperdalam kerjasama pembangunan sosial, khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat semua peringkat umur.

-- BERNAMA