Rakyat Malaysia Ditahan Di Luar Negara Bantu Polis Kenal Pasti Rangkaian Dadah - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas Penyerahan Projek Siap Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tok Bali. Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (kanan) dan Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Awang Alik Jeman (kiri). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
03/09/2026 08:43 PM

PASIR PUTEH, 3 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki terbabit kegiatan penyeludupan dadah menjadi sumber maklumat penting kepada pihak berkuasa negara ini dalam usaha mengenal pasti rangkaian jenayah itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kerjasama dengan negara jiran menerusi hubungan police-to-police dan platform ASEAN membolehkan pihak berkuasa Malaysia mendapatkan akses untuk menemu bual rakyat negara ini yang ditahan di luar negara.

“Melalui soal siasat (dengan mereka) berkenaan, kita temukan banyak lagi maklumat. Hasil maklumat itu kita telah pun melakukan beberapa tangkapan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Projek Siap Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di Tok Bali di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pihak berkuasa turut cuba mengenal pasti sama ada individu berkenaan bertindak secara bersendirian atau merupakan sebahagian daripada rangkaian jenayah terancang.

Beliau berkata pada masa sama, Malaysia menghormati kedaulatan serta undang-undang negara yang menahan rakyatnya, namun hubungan baik antara agensi penguat kuasa membolehkan pihak berkuasa mendapatkan akses kepada individu terbabit.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan media antarabangsa bahawa seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 62 tahun ditahan Jabatan Kastam Chennai, India, selepas cuba menyeludup 3.452 kilogram (kg) ganja hidroponik bernilai kira-kira 1.20 crore (RM520,000) ke negara berkenaan, 31 Ogos lepas.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan mengambil langkah memperkukuh aspek keselamatan di pintu masuk negara khususnya di lapangan terbang, susulan beberapa kes rakyat Malaysia yang berlepas dari negara ini sebelum ditahan di negara destinasi.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama-sama Kementerian Pengangkutan telah mengemukakan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri yang mengandungi 17 perkara bagi menambah baik elemen keselamatan berkenaan.

Saifuddin Nasution berkata penambahbaikan itu membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk pasukan polis, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Imigresen, Aviation Security, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

-- BERNAMA