ASEAN, Korea Selatan Perkukuh Kerjasama Dalam Bidang AI, Kesihatan Digital
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- ASEAN dan Korea Selatan sedang memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan kesihatan digital bagi membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan serantau yang lebih bersepadu, dipercayai dan berdaya tahan khususnya dalam meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan serta keupayaan mengesan penyakit lebih awal.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Korea Selatan kekal sebagai rakan penting dalam memacu agenda kesihatan digital ASEAN, sekali gus menandakan langkah penting dalam merealisasikan visi bersama ASEAN untuk bekerjasama membangunkan sistem kesihatan yang saksama dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Pandemik yang berlaku telah memperlihatkan betapa pentingnya kita memiliki sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan dan tangkas dalam menghadapi perubahan. Ketika ini, kita berada di persimpangan antara keperluan kesihatan awam dan kemajuan teknologi yang berkembang dengan begitu pesat.
“Dengan memanfaatkan AI, analisis berasaskan data dan penyelesaian digital, kita mampu merapatkan jurang kesaksamaan, memperkukuh sistem amaran serta memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat, termasuk di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-Republik Korea (ROK) yang diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan di sini hari ini.
Dzulkefly berkata inisiatif seperti Dasar Data Raya Korea, disokong oleh kepakaran teknikal Korea Disease Control and Prevention Agency (KDCA) serta Korea Human Resource Development Institute for Health and Welfare (KOHI), menyediakan pendekatan yang terbukti berkesan dalam penggunaan AI dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan premier digital.
“Dengan menyelaraskan matlamat dasar dan berkongsi kepakaran teknikal, kerjasama ini membolehkan kita memperkukuh liputan kesihatan sejagat, memperkemas sistem kawal selia serta membangunkan ekosistem kesihatan yang saling beroperasi, selamat dan berteraskan keperluan rakyat di seluruh ASEAN.
“Malaysia komited untuk menggalakkan perbincangan yang produktif hari ini. Kami berharap dapat menerima pakai Kenyataan Bersama yang mencerminkan aspirasi bersama dan memberikan hala tuju yang jelas bagi memperkukuh kerjasama dalam membina masa depan kesihatan serantau yang lebih terhubung, dipercayai dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan dan Kebajikan Republik Korea Lee Hyung Hoon, yang juga pengerusi bersama mesyuarat itu berkata pengukuhan kerjasama dalam bidang kesihatan digital amat penting bagi merapatkan jurang penjagaan kesihatan dan digital dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Beliau berkata kesihatan digital telah menjadi satu daripada teras utama kerjasama kesihatan ASEAN-ROK sejak kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan saluran dialog mengenai kesihatan pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019.
"Sejak itu, kami terus memperkukuh keupayaan sumber manusia dalam bidang kesihatan dan bioteknologi, di samping menyumbang kepada pengukuhan pemantauan keselamatan kesihatan serantau melalui Pusat Pemantauan Ancaman Biologi ASEAN (ABVC).
“Projek Pembangunan Keupayaan Data Raya Kesihatan ASEAN-ROK yang bermula tahun ini akan menjadi satu lagi pemangkin kepada semua negara anggota untuk mempertingkatkan keupayaan data masing-masing ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu juga akan membantu negara anggota memperkukuh keupayaan dalam memanfaatkan data kesihatan serta teknologi digital, di samping memastikan hasil dan manfaat inovasi dapat dikongsi secara lebih saksama di seluruh rantau ini.
Hyung Hoon berkata ROK telah mengenal pasti tiga objektif utama bagi meningkatkan kerjasama termasuk menghubungkan infrastruktur kesihatan digital sedia ada bagi membangunkan sistem maklumat kesihatan yang mampu berfungsi secara bersepadu.
“Objektif kedua ialah bekerjasama dalam memperkukuh aspek tadbir urus dan kapasiti tenaga kerja supaya teknologi AI dapat diterapkan dengan selamat dan saksama tanpa mengira tahap ketersediaan digital yang berbeza-beza manakala ketiga, menyatukan perbincangan menerusi kerangka kerja Live Together AI-Powered Health and Society, sekali gus menyediakan hala tuju dan struktur yang jelas bagi kerjasama pada masa depan,” katanya.
Hyung Hoon berkata tema “Together Towards Equitable Future-Ready Health Systems”, mencerminkan komitmen bersama ASEAN dan ROK dalam memastikan transformasi digital dapat memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh rantau ini tanpa mengira perbezaan tahap ketersediaan digital dan keupayaan sistem penjagaan kesihatan.
-- BERNAMA
