CAEXPO 2026, CABIS Dibuka Di Nanning, Perkukuh Kerjasama Ekonomi China-ASEAN

17/09/2026 07:41 PM

Daripada Siti Fauziah Hasan

NANNING (CHINA), 17 Sept (Bernama) -- Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-23 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) dibuka di sini hari ini, memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan serta integrasi ekonomi serantau.

Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang berkata kedua-dua acara itu turut menjadi platform penting bagi perkongsian peluang pembangunan dan mempunyai kepentingan praktikal yang besar.

“China dan ASEAN merupakan jiran penting antara satu sama lain. Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) menandakan penubuhan kawasan perdagangan bebas terbesar di kedua-dua hemisfera.

“Pada Januari 2010, CAFTA secara rasmi ditubuhkan sepenuhnya, membuka ruang kepada kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN serta memasuki fasa baharu,” katanya pada majlis pembukaan kedua-dua acara itu di sini hari ini.

Beliau berkata sejak penubuhan CAFTA, pencapaian ketara telah direkodkan dan pembangunan pesat dicapai, termasuk peningkatan kualiti perdagangan dua hala.

Beliau berkata China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN selama 15 tahun berturut-turut, manakala ASEAN kekal sebagai rakan dagang terbesar China selama empat tahun berturut-turut, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah US$911.7 bilion pada 2023, meningkat 16.8 kali ganda berbanding 2002.

Ding turut berkata ASEAN telah menjadi destinasi penting bagi pelaburan luar negara syarikat China, manakala China membekalkan barangan dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada negara-negara ASEAN, sekali gus mempercepat integrasi ekonomi di rantau ini.

“Kemajuan positif telah dicapai dalam pembangunan infrastruktur, manakala taraf hidup rakyat terus bertambah baik. Kerjasama ekonomi dan perdagangan telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pihak perlu bekerjasama untuk mempercepat pembangunan CAFTA 3.0, meneroka potensi kerjasama ekonomi dan perdagangan, memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta menggalakkan kemakmuran dan pembangunan di rantau ini dan dunia.

Ding turut mencadangkan supaya China dan ASEAN memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital dan hijau, meningkatkan kesalinghubungan serta memperdalam kerjasama dalam sektor pertanian, perindustrian dan perkhidmatan.

CAEXPO 2026 berlangsung hingga 21 Sept, manakala CABIS hingga 19 Sept.

-- BERNAMA