AKC Buka "ASEAN Hall" Ketiga Di Jeonju, Perkukuh Hubungan Budaya
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pusat ASEAN-Korea (AKC) membuka "ASEAN Hall" ketiganya di Jeonju, Korea Selatan pada Khamis, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas hubungan budaya antara ASEAN dengan Korea Selatan.
Terletak di Pusat Kebudayaan Tradisional Korea, Jeonju ASEAN Hall merupakan tempat pertukaran budaya ASEAN-Korea yang pertama di wilayah Honam dan ruang pameran tetap yang mengetengahkan kepelbagaian budaya, kesenian dan tradisi kesemua 11 negara anggota ASEAN.
Pembukaan itu menyusuli pembukaan ASEAN Hall yang serupa di Seoul pada 2009 dan Jeju pada 2022.
Pameran sulungnya yang bertajuk “ASEAN: Where Hands Bridge Time”, akan menampilkan kira-kira 70 artifak tradisional termasuk topeng, tekstil, alat muzik dan boneka bayang.
AKC menyifatkannya sebagai pameran berskala besar pertama di Korea Selatan yang menghimpunkan warisan budaya dari kesemua 11 negara anggota ASEAN.
Setiausaha Agung AKC Kim Jae-shin berkata pusat itu akan terus menganjurkan pameran menarik dan pelbagai program bagi menjadikan Jeonju ASEAN Hall sebagai tempat utama bagi pertukaran budaya antara ASEAN dengan Korea Selatan.
“Kami berhasrat untuk menjadikan budaya ASEAN lebih mudah diakses oleh lebih ramai orang dan mengharapkan minat serta sokongan berterusan daripada anda,” katanya pada majlis perasmian.
Turut hadir Datuk Bandar Jeonju Cho Ji-hun dan Duta Besar Filipina ke Korea Selatan Bernadette Therese C. Fernandez yang mewakili Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026.
Majlis itu dihadiri kira-kira 100 tetamu termasuk wakil AKC, Jawatankuasa ASEAN di Seoul (ACS), Bandar Jeonju, Kementerian Luar Korea Selatan, Wilayah Jeonbuk, Majlis Bandaraya Jeonju, institusi berkaitan, organisasi media dan universiti.
Dalam satu kenyataan, AKC memaklumkan ASEAN Hall itu akan berfungsi sebagai platform mampan bagi diplomasi budaya dengan menyatukan budaya Korea dan ASEAN serta memperluas jangkauan budaya dan kesenian ASEAN melangkaui kawasan metropolitan Seoul.
AKC akan bekerjasama dengan Yayasan Kebudayaan Jeonju untuk menawarkan pelbagai program kepada penduduk dan pelancong.
Ini termasuk "ASEAN Brunch Box" yang dianjurkan dengan kerjasama bakeri terkenal Lee Sung Dang di Gunsan, yang akan memadankan produk istimewa bakeri itu dengan kopi khusus dari Timor-Leste.
"ASEAN Cooking Class" pula akan memberi peluang kepada peserta untuk menyediakan dan menikmati hidangan ASEAN termasuk bánh xèo dari Vietnam dan nasi goreng dari Indonesia di bawah bimbingan pakar kulinari ASEAN.
“Kedua-dua program akan diadakan sebulan sekali pada Sabtu terpilih, dengan jadual dan butiran pendaftaran kelas memasak boleh didapati menerusi akaun Instagram rasmi ASEAN Hall (@aseanhall_akc),” menurut kenyataan itu.
Terletak berhampiran Jeonju Hanok Village, destinasi utama pelancongan budaya, ASEAN Hall itu dijangka menawarkan lebih banyak peluang kepada penduduk serta pengunjung dalam dan luar negara untuk merasai pengalaman budaya ASEAN.
AKC turut menjangkakan ASEAN Hall itu dapat membantu meningkatkan profil antarabangsa Jeonju dan memperluas pertukaran budaya global ketika Wilayah Jeonbuk berusaha membida hak penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas 2036.
Jeonju ASEAN Hall akan dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Sabtu dan ditutup pada Ahad serta cuti umum.
Ditubuhkan pada 13 Mac 2009, AKC menggalakkan kerjasama ASEAN-Korea Selatan menerusi perdagangan, pelaburan, pelancongan serta pertukaran budaya dan hubungan antara rakyat.
-- BERNAMA
